Pengenalan PPUKM

pengenalan_ppukm

Fakulti Perubatan, yang kini berusia 45 tahun, telah ditubuhkan pada 30hb Mei 1972 sebagai sebuah institusi perubatan untuk menjalankan kursus-kursus perubatan dan kejururawatan, penyelidikan perubatan dan perkhidmatan klinikal yang ditadbir  oleh seorang Dekan. Pada mulanya fakulti ini ditubuhkan, Hospital Kuala Lumpur (HKL)  telah dijadikan sebagai hospital pembelajaran untuk pelajar perubatan mendapat latihan.

Pada tahun 1997, Hospital UKM (HUKM) telah dibangunkan sebagai hospital pembelajaran bagi memberikan kemudahan latihan  kepada pelajar Fakulti Perubatan, UKM. Struktur pentadbiran HUKM diasingkan dari fakulti dan ketuanya merupakan Pengarah Hospital. Pada mula HUKM ditubuhkan, jawatan Dekan dan Pengarah Hospital dipegang oleh seorang pegawai, tetapi sejak tahun 1998, Fakulti Perubatan telah mempunyai Dekannya tersendiri dan UKM pula mempunyai Pengarahnya tersendiri.

Walaubagaimanapun, pada 20 Februari 2008, Fakulti Perubatan dan HUKM telah digabungkan untuk mewujudkan entiti yang dikenali sebagai Pusat Perubatan UKM (PPUKM), atau UKM Medical Centre (UKMMC), dengan moto Mengintegrasikan Pembelajaran dan Penyelidikan Demi Masyarakat. PPUKM diketuai oleh seorang Dekan merangkap Pengarah yang bertanggungjawab menguruskan semua bahagian akademik, penyelidikan dan perkhidmatan klinikal di pusat ini.

Dekan merangkap Pengarah dibantu oleh Timbalan Dekan/Timbalan Pengarah serta Ketua Pegawai Operasi yang terdiri daripada:

  1. Timbalan Dekan Siswazah & Hubungan Antarabangsa
  2. Timbalan Dekan Prasiswazah & Alumni
  3. Timbalan Dekan Penyelidikan Perubatan dan Inovasi
  4. Timbalan Dekan /Timbalan Pengarah Perkhidmatan Klinikal dan Sumber Manusia
  5. Timbalan Dekan /Timbalan Pengarah Pembangunan

Ahli-ahli Mesyuarat Pengurusan PPUKM terdiri daripada Dekan dan Pengarah PPUKM, Timbalan Dekan/Timbalan Pengarah, dan Ketua Pegawai Operasi bertanggungjawab untuk memastikan pentadbiran PPUKM berjalan lancar.   Selain barisan pengurusan tertinggi PPUKM, Ketua Jabatan Kualiti, Ketua Jabatan Kewangan, Ketua Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat (HEJIM), Ketua Hal Ehwal Siswa dan Alumni (HESA), Timbalan Pengarah II Pusat Islam UKM dan Pengurus Kanan (Pentadbiran) juga turut menganggotai Ahli Mesyuarat Pengurusan PPUKM.

Gabungan entiti ini akan menjadikan fungsi dan aktiviti institusi-institusi berasingan, fakulti dan hospital, dapat  diselaraskan serta dijalankan dengan lebih cekap, teratur dan produktif. Aktiviti pentadbiran dapat dilakukan dengan lebih baik disamping menawarkan perkhidmatan yang terbaik.

' .