Soalan Lazim

Apakah kepakaran yang ada di PPUKM?
Secara keseluruhannya PPUKM menawarkan semua kepakaran perubatan. Sila rujuk Kepakaran Klinikal.

Bagaimana caranya untuk mendapatkan rawatan pakar?
Untuk mendapatkan rawatan pakar di PPUKM, surat rujukan adalah diperlukan.

Mengapa saya perlu menunggu agak lama untuk mendapatkan tarikh temujanji dari klinik pakar PPUKM?
Pada umumnya PPUKM tidak mempuyai perkhidmatan pesakit luar, namun begitu PPUKM mempunyai Klinik Primer PPUKM Cheras yang bertempat di Bangunan Plaza Dwitasik, Bandar Tasik Permaisuri, Cheras Kuala Lumpur.

Apakah yang dimaksudkan dengan sistem temujanji berperingkat?
Temujanji berperingkat bermaksud pesakit diberikan tarikh dan masa temujanji khusus untuk berjumpa dengan doktor/pegawai perubatan berdasarkan kepada jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan pada satu-satu masa. 

Kenapa nombor giliran saya belum dipanggil sedangkan nombor giliran sesudah saya dipanggil terlebih dahulu?
Nombor giliran adalah berdasarkan kepada slot jam pesakit dalam sistem temujanji pada tarikh berkenaan. Walau bagaimanapun terdapat situasi pesakit tidak dipanggil berdasarkan no. giliran terawal kerana keputusan dan penilaian doktor/pegawai perubatan yang telah menyemak kes  dan telah menetapkan keutamaan berbeza.

Kenapa saya tidak mendapat nombor giliran yang lebih awal walaupun saya telah hadir lebih awal daripada pesakit lain?
Nombor giliran diberikan berdasarkan kepada masa temujanji yang ditetapkan. Pesakit yang datang awal tetapi nombor giliran tetap diberikan berdasarkan masa temujanji yang telah tercatat dalam kad temujanji pesakit

Kecemasan

Apakah yang dimaksudkan dengan kes-kes kecemasan bagi tujuan rawatan di Jabatan Kecemasan?
Kes-kes kecemasan termasuk kemalangan (di jalan raya/ di tempat kerja/ domestik), serangan lelah, serangan jantung, pengsan, digigit ular, kebakaran, sawan, keracunan makanan, sakit perut secara tiba-tiba dan amat kuat.

Caj & Bayaran

Berapakah caj kemasukan atau cagaran hospital bagi warganegara dan bukan warganegara?
Mklumat kadar caj boleh dirujuk dihalaman web Jabatan Kewangan: http://www.ppukm.ukm.my/kewangan/kadar-caj-perkhidmatan/

Apakah penyakit berjangkit yang dimasukkan ke wad dikecualikan dari bayaran?
Ya, semua jenis penyakit berjangkit dikecualikan.

Apakah dokumen-dokumen yang perlu dibawa semasa mendapatkan rawatan atau kemasukan bagi tujuan pengecualian bayaran?
Kad Kebajikan Masyarakat, Kad Pencen, surat sekolah, surat pengesahan (GL)

Prosedur Bersalin

Perlukah saya menempah (booking) terlebih dahulu sekiranya ingin bersalin di sini?
Perlu, sekurang-kurangnya telah dilihat oleh doktor di sini sebanyak 2 kali.

Ke manakah harus saya pergi sekiranya saya hendak bersalin?
Puan perlu datang segera ke PAC/OGAC yang terletak bersebelahan dengan Jabatan Kecemasan

Apakah yang perlu dibawa apabila saya mempunyai tanda tanda untuk bersalin?
Puan perlu membawa kad pengenalan, kad temujanji, buku rekod pemeriksaan antenatal, surat jaminan (jika ada)/ wang untuk deposit kemasukan ke wad, kelengkapan diri dan bayi semasa datang ke PAC/OGAC.

Bolehkah suami menemani isteri semasa di Dewan Kelahiran?
Boleh, suami perlu menandatangani borang pengeluaran pas menunggu pesakit di dewan kelahiran dan perlu mendapatkan Pas Menunggu di Kaunter Keselamatan yang terletak di tingkat 1 berhampiran Dewan Kelahiran

Bolehkah saudara perempuan menemani isteri semasa bersalin?
Keutamaan hanya diberi kepada suami atau ibu pesakit. Jika kedua duanya tiada, permohonan boleh dibuka kepada saudara perempuan sahaja yang dinamakan oleh pesakit untuk menemannya asalkan bersesuaian.

Bagaimana dengan penyusuan bayi saya jika saya masih belum menghasilkan susu ibu?
Secara keseluruhannya setiap wanita yang mengandung berupaya menghasilkan susu ibu. Pesakit digalakkan terus menyusui bayi dalam jam pertama selepas kelahiran bagi merangsang pengeluaran susu. Amalan melengahkan pemberian susu ibu boleh menyebabkan payudara kurang penghasilan dan bayi menolak untuk menyusu di payudara.

Pada siapa boleh saya membuat rujukan di atas masalah penyusuan susu ibu?
Puan boleh membuat panggilan ke Klinik O&G bagi mendapatkan bantuan Kaunselor Penyusuan Susu Ibu atau puan boleh mendapatkan pamplet Kumpulan Sokongan  Penyusuan Susu Ibu.  Bantuan boleh diperolehi dari Kaunselor  Terlatih yang ada di setiap wad.

 

Aduan dan Maklum Balas

Apakah jenis aduan atau maklum balas yang boleh saya berikan kepada HCTM PPUKM?

Pihak HCTM PPUKM mengalu-alukan sebarang cadangan, aduan, penghargaan, pertanyaan dan maklum balas mengenai sebarang perkhidmatan yang kami sediakan.

Adakah sebarang bayaran dikenakan untuk membuat aduan?

Tiada

Bolehkah saya membuat aduan bagi pihak orang lain?

Boleh, dengan syarat maklumat pesakit yang tepat dan terkini turut disediakan. Sekiranya tiada sebarang maklumat yang lengkap, adalah sukar untuk pihak kami membuat siasatan lanjut dan mengenal pasti tindakan penambahbaikan yang diperlukan.

Bolehkah saya mengemukakan aduan tanpa memberi nama?

Boleh, namun maklum balas atau aduan berkenaan akan dikira sebagai tidak lengkap untuk pihak kami mengemukakan maklum balas tindakan penambahbaikan yang telah diambil kepada pengadu.

Bagaimana cara membuat aduan?

Terdapat beberapa saluran rasmi aduan dan maklum balas yang boleh dimajukan kepada pihak kami. Antaranya:-

  • Borang Aduan (warna merah jambu yang boleh didapati dilokasi tertentu/kaunter informasi khidmat pelanggan di Lobi Utama)
  • Panggilan telefon ke Unit Perhubungan Pelanggan, Jabatan Khidmat Pelanggan ditalian 03-9145 7993/5066
  • Emel prohukm@ppukm.ukm.edu.my
  • Sistem Maklum Balas dan Aduan UKM – Sistem eFACt

Apa yang perlu saya masukkan dalam aduan kepada PPUKM?

Pastikan nama pengadu, nama pesakit, noMRN Pesakit, alamat terkini pengadu, no.telefon, emel, tarikh kehadiran ke HCTM PPUKM, Wad atau klinik berkaitan, nama kakitangan terlibat (sekiranya berkenaan), dan maklum balas perkhidmatan kami.

Apa berlaku kepada aduan saya?

Setiap aduan LENGKAP yang diterima akan diberikan surat pengesahan penerimaan dalam tempoh 3 hari bekerja dari tarikh maklum balas diterima oleh Unit Perhubungan Pelanggan, Jabatan Khidmat Pelanggan. Aduan dan maklum balas akan dimajukan kepada jabatan yang terlibat untuk siasatan dijalankan. Tempoh yang diberikan kepada jabatan untuk melakukan siasatan dan mengemukakan laporan ialah dari 5-30 hari. Jawapan kepada pengadu akan diberikan selepas laporan diterima daripada jabatan.

Berapa lama PPUKM membuat siasatan?

Tempoh siasatan adalah bergantung kepada tahap kerumitan sesuatu kes yang diterima termasuklah keperluan mendapatkan maklumat atau fail pesakit mengikut prosedur yang telah ditetapkan, perjumpaan dengan kakitangan yang terlibat, proses atau prosedur yang diperlukan untuk tindakan pembetulan atau penambahbaikan dan sebagainya.

Bantuan Khidmat Sosial Perubatan

Bagaimanakah cara untuk mendapatkan perkhidmatan dari Jabatan Kerja Sosial Perubatan?

Pesakit hendaklah dirujuk melalui borang rujukan oleh Pakar/Pegawai Perubatan/Terapis Pemulihan daripada wad atau klinik di mana pesakit mendapatkan rawatan. Seterusnya, Pegawai Kerja Sosial Perubatan akan membuat penilaian biopsikososial bagi tujuan :

  • Mengenalpasti  masalah sebenar yang dihadapi oleh pesakit atau keluarga pesakit
  • Mengenalpasti  keperluan pesakit
  • Menentukan tindakan intervensi  untuk membantu pesakit dan keluarganya
  • Penilaian semula tindakan bantuan
  • Penamatan

Apakah kriteria pesakit yang layak untuk memohon bantuan?

Secara amnya, semua pesakit yang menghadapi masalah psikososial dalam proses rawatan di PPUKM layak untuk memohon bantuan.  Walau bagaimanapun,  saringan dan penilaian akan dilakukan terlebih dahulu oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan samada pesakit boleh mendapat  bantuan atau tidak.  Kriteria  kelayakan mendapat bantuan berbeza-beza mengikut keperluan pesakit kerana melibatkan aspek penilaian latar belakang sosial, sosioekonomi, tahap sokongan sosial,  jenis  penyakit, rawatan  serta garis panduan badan bantuan yang berbeza dalam menentukan bantuan yang boleh diberikan oleh mereka.

Apakah dokumen sokongan yang diperlukan untuk memohon bantuan?

Dokumen sokongan yang diperlukan untuk memohon bantuan adalah berbeza bergantung kepada jenis keperluan pesakit. Namun, dokumen sokongan asas yang diperlukan adalah salinan kad pengenalan pesakit dan keluarga,  slip gaji/pengesahan pendapatan pesakit dan ahli keluarga yang bekerja,  salinan bil-bil utiliti, dan salinan resit bayaran yang dibuat secara bulanan.

Apakah perkhidmatan yang ditawarkan oleh Jabatan Kerja Sosial Perubatan?

Di antara perkhidmatan yang ditawarkan oleh Jabatan Kerja Sosial Perubatan adalah seperti berikut:

  • Membantu mendapatkan bantuan peralatan rawatan dan ubatan kategori non-formulary.
  • Menguruskan pinjaman peralatan sokongan rawatan.
  • Menguruskan penempatan Rumah Perantaraan (transit) untuk pesakit dan ahli keluarga.
  • Mengesan waris pesakit dan penempatan pesakit ke institusi/agensi sokongan.
  • Pengurusan kes ibu tanpa nikah.
  • Pengurusan kes penderaan/pengabaian kanak-kanak.
  • Penganiayaan seksual & keganasan rumahtangga.
  • Penempatan rawatan (kes hemodialisis).
  • Rujukan bantuan kewangan ke agensi bantuan luar
  • Penilaian dan penyediaan laporan sosioekonomi.
  • Konsultasi caj rawatan, pendaftaran OKU dan tuntutan perubatan.
  • Terapi sokongan emosi kepada pesakit/keluarga pesakit yang memerlukannya

Bagaimana cara memohon mendiami Rumah Perantaraan PPUKM ( transit )?

Untuk permohonan mendiami Rumah Perantaraan, pesakit hendaklah dirujuk melalui borang rujukan oleh Pakar/Pegawai Perubatan/Terapis Pemulihan daripada wad atau klinik di mana pesakit mendapatkan rawatan. Deposit sebanyak RM50.00 dan caj penginapan adalah RM5.00 untuk satu malam. Sekiranya tiada kekosongan rumah ketika rujukan diterima pesakit/waris akan diletakkan ke senarai menunggu. Jika diperlukan, mereka juga akan diberikan senarai alternatif kemudahan penginapan yang disediakan oleh pihak luar berhampiran PPUKM.

Bolehkah saya memohon pinjaman atau penyewaan peralatan perubatan seperti katil pesakit, tongkat atau kerusi roda daripada PPUKM?

Boleh. Prosedur yang sama perlu dilakukan iaitu pesakit hendaklah dirujuk melalui borang rujukan oleh Pakar/Pegawai Perubatan/Terapis Pemulihan daripada wad atau klinik di mana pesakit mendapatkan rawatan. Kemudahan pinjaman atau penyewaan peralatan perubatan yang diberikan adalah berdasarkan keperluan pesakit yang disyorkan oleh pihak perujuk. Bagaimanapun kemudahan peralatan perubatan tersebut adalah terhad dan tertakluk kepada  sumbangan peralatan yang masih ada dalam  satu-satu masa. Pesakit yang berkemampuan adalah dinasihatkan untuk membeli atau menyewa terus dari pihak pembekal.

Proses dan peraturan pembekalan ubatan

Mengapa terdapat ubat yang perlu dibeli sedangkan di Hospital KKM lain, ubat dibekalkan secara percuma?

Untuk makluman, HCTM PPUKM adalah dibawah Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dan bukan dibawah Kementerian Kesihatan Malaysia.  Oleh itu pengurusan dari segi polisi dan peruntukan adalah berbeza.

Ubat-ubatan akan diberi secara percuma jika ianya tersenarai di dalam Formulari(F) PPUKM. Formuari PPUKM merupakan senarai ubat-ubatan yang diluluskan oleh Jawatankuasa Terapeutik dan Ubat-Ubatan (JKTU). Ubat yang tersenarai akan diberikan secara percuma kepada pesakit mengikut polisi yang telah ditetapkan, iaitu mengikut pengkhususan  Pakar atau klinik, indikasi dan peruntukan yang diluluskan. Oleh itu pesakit perlu membeli ubat bagi situasi berikut :

A) ubat tidak tersenarai di dalam Formulari PPUKM (Ubat Non-Formulary)

B) penggunaan ubat tersebut telah melebihi peruntukan yang diluluskan

C) ubat tersebut dipreskrib oleh Pakar atau klinik yang tidak termasuk dalam senarai pengguna yang telah diluluskan (A*)

D) status pesakit adalah berbayar

Namun begitu, Formulari yang digunakan oleh PPUKM adalah berbeza dengan Formulari yang digunapakai oleh hospital-hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Senarai ubat yang ada di dalam Formulari KKM adalah berbeza dengan senarai ubat yang ada di dalam Formulari PPUKM. Sebagai contoh : Ubat biji Atorvastatin adalah tersenarai di dalam Formulari KKM, tetapi tidak di dalam Formulari PPUKM. Maka di hospital KKM pesakit akan dibekalkan ubat tersebut secara percuma tetapi perlu membelinya jika dipreskrib oleh Pakar atau Pegawai Perubatan di PPUKM. Bagi pesara persekutuan kerajaan (Federal Government Pensioners) pula  ubat Non-Formulary akan dibekalkan secara percuma di Kedai Farmasi jika pesakit mengemukakan borang eMASS dan preskripsi ubat.

Adakah Farmasi PPUKM mempunyai kemudahan `SMS & Ambil’ dan UMP – ambil ubat melalui Pos, `After Office Hour’ (AOH)’, dan Sistem Pembekalan Ubat Bersepadu (SPUB)?

Farmasi PPUKM tidak menyediakan perkhidmatan SMS &Ambil, UMP(ambil ubat melalui pos) dan pembekalan ubat bersepadu (SPUB).  Perkhidmatan ini hanya disediakan oleh hospital-hospital di bawah KKM.

Akan tetapi, Farmasi PPUKM Pesakit Luar Utama dan Farmasi Pediatrik/O&G/Nefro & SLE ada menyediakan kemudahan Panggil dan Ambil (PDA).  Pesakit yang mempunyai ubat ulangan boleh mendaftar di kaunter PDA yang disediakan tertakluk kepada garispanduan yang telah ditetapkan. Pesakit hanya perlu membuat panggilan 24jam sebelum datang mengambil ubat ulangan tanpa perlu beratur atau menunggu kerana ubat telah disediakan terlebih dahulu.

Mengapa saya perlu mendapatkan pengesahan Doktor Pakar bagi ubat tertentu bagi preskripsi discaj?

Setiap ubat list A* akan diperuntukkan bajet dan polisi tertentu oleh Jawatankuasa Terapeutik dan Ubat-Ubatan (JKTU). Oleh itu, cop pengesahan Pakar dari klinik tertentu diperlukan bagi mengawal pengeluaran ubat-ubatan list A* khasnya bagi preskripsi-preskripsi  pesakit discaj.

Apakah maksud ubat generik? Adakah saya akan lambat sembuh jika mengambil ubat generik?

Ubat generik adalah ubat yang telah habis tempoh patennya sehingga dapat di hasilkan oleh syarikat lain tanpa melanggar akta hak cipta. Kualiti ubat generik adalah sama dengan ubat original kerana bahan aktif yang digunakan adalah sama dan ianya telah melalui proses ujian bioequivalence. Keberkesanan dan efikasi ubat generik adalah sama seperti ubat original. Kesemua ubat generik yang digunakan di farmasi PPUKM  telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan telah berada di pasaran lebih dari dua tahun.

Bolehkah saya mendapatkan baki bekalan ubat yang tidak dituntut sebelum ini?

TIDAK.  Ini ialah bagi mengelakkan dari berlakunya pengambilan ubat yang berganda (overdose) sekiranya pesakit mendapat bekalan ubat yang berlebihan. Ubat  yang tidak diambil  tidak akan dibekalkan semula dan pesakit dinasihatkan agar mengambil ubat-ubatan seperti yang telah dipreskrib oleh Pakar/Pegawai Perubatan dan tidak meninggalkan dos ubat tersebut.

Adakah preskripsi mempunyai tarikh luput?

Semua preskripsi yang dikeluarkan oleh hospital mempunyai tarikh luput. Bagi PPUKM tarikh luput preskripsi  adalah berdasarkan dari tarikh preskripsi dikeluarkan sehingga tempoh tarikh bekalan ubat yang dipreskrib oleh Pakar / Pegawai Perubatan.  Contoh :  tarikh preskripsi dikeluarkan adalah 25/3/2014 untuk 6 bulan. Maka tarikh luput preskripsi adalah 25/9/2014.  Pesakit-pesakit dinasihatkan untuk menyemak tarikh temu janji dengan tempoh preskripsi agar bekalan ubat tidak terputus.

Bolehkah saya mendapat bekalan ubat sekiranya preskripsi sudah luput tarikh?

Pesakit tidak boleh menggunakan preskripsi yang luput tarikh untuk mengambil ubat di farmasi kerana ianya salah dari segi Akta Racun.  Pesakit dikehendaki kembali ke klinik berkenaan dan    memohon Pakar/Pegawai Perubatan untuk membuat preskripsi  yang baru

Bolehkah saya mendapatkan bekalan ubat dari hospital ini menggunakan preskripsi dari hospital/KlinikKesihatan lain?

Tidak boleh. Farmasi HCTM PPUKM tidak menerima sebarang preskripsi dari Hospital/Klinik Kesihatan lain. Ini ialah kerana:

  1. Peruntukan ubat-ubatan HCTM PPUKM adalah dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia dan bukan dibawah Kementerian Kesihatan Malaysia.
  1. Polisi ubat-ubatan dari Hospital KKM adalah berbeza dari HCTM PPUKM contohnya Tab Papase di Hospital KKM akan dibekalkan secara percuma tetapi di PPUKM pesakit perlu membeli di Kedai Farmasi kerana ia berstatus Non-Formulary (tidak terdapat di dalam Formulari).

Bolehkah saya mendapatkan bekalan ubat menggunakan preskripsi PPUKM dari fasiliti luar KKM (seperti contoh IJN, PPUM, HUSM) ?

Tidak, kerana preskripsi HCTM PPUKM tidak diterima oleh hospital luar KKM atau Hospital di bawah KKM. Preskripsi HCTM PPUKM hanya boleh digunapakai di HCTM PPUKM sahaja.

Bolehkah saya memohon bekalan ubat yang tidak terdapat dalam preskripsi saya?

Bekalan ubat hanya akan dibekalkan seperti yang terdapat di dalam preskripsi sahaja. Jika pesakit ingin memohon bekalan ubat yang tidak terdapat di dalam preskripsi, pesakit dikehendaki berjumpa semula dengan Pakar/Pegawai Perubatan untuk menambah ubat tersebut di dalam preskripsi atau di dalam sistem farmasi.

Bolehkah saya mendapat ubat tanpa perlu membawa preskripsi?

Tidak boleh. Preskripsi diperlukan setiap kali pesakit datang mengambil ubat di farmasi. Ini adalah kerana:

  1. Preskripsi diperlukan untuk proses pengisian dan pendispensan ubat kepada pesakit kerana setiap pesakit mempunyai keperluan ubat yang berbeza.
  1. Setiap kali pengambilan ubat ianya akan direkod di atas preskripsi dan ini digunakan sebagai bukti penyerahan ubat kepada pesakit.
  1. Untuk mengelakkan kesilapan dalam pemberian ubat kepada pesakit kerana terdapat pelbagai jenis ubat dengan kekuatan yang berbeza. Sekiranya berlaku perkara berbangkit, kakitangan farmasi dapat mengesan semula melalui preskripsi yang ada.
  1. Bagi memudahkan Pakar/Pegawai Perubatan dan kakitangan farmasi untuk memeriksa rekod atau sejarah ubat pesakit yang terdahulu jika dimasukkan kedalam wad atau hospital lain.

Bolehkah saya mendapat bekalan ubat lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan oleh pihak farmasi?

Boleh. Pesakit dikehendaki mendapat pengesahan dari Pegawai Farmasi  dan  jika farmasi HCTM PPUKM  mempunyai stok bekalan ubat yang mencukupi.

Bagaimana caranya jika saya tidak berkesempatan untuk mengambil ubat semasa waktu bekerja?

Pesakit boleh mengambil ubat di Farmasi Pesakit Luar Utama selepas waktu pejabat dari pukul 5.00 petang sehingga jam 6.30 petang (Isnin hingga Jumaat). Pesakit tidak digalakkan untuk datang mengambil ubat di Farmasi Perubatan Kecemasan kerana Farmasi tersebut hanya menyimpan sebilangan jenis ubat sahaja. Pesakit juga digalakkan menggunakan perkhidmatan Panggil dan Ambil (PDA) yang telah disediakan.

Perlukah saya membuat pembayaran ketika mengambil ubat?

Hanya pesakit yang berstatus berbayar sahaja perlu membuat bayaran terlebih dahulu ketika hendak mengambil ubat di farmasi HCTM PPUKM. Pembayaran ubat adalah sebanyak RM40.00 untuk bekalan sebulan tanpa mengira jumlah bilangan ubat yang dibekalkan untuk ubat Formulary. Bagi ubat Non-Formulary pesakit dikehendaki membelinya  di Kedai Farmasi.

Tarikh kemaskini: 24 Januari 2017

 

' .