UJIAN SARINGAN ALAHAN PENTING UNTUK MENENTUKAN JENIS ALAHAN

Alahan merupakan keadaan di mana tubuh atau organ tertentu pesakit mengalami tahap sensitif yang lebih daripada normal (hypersensitivity type 1) terhadap persekitaran seperti habuk dan debunga, makanan, ubat-ubatan atau bahan-bahan kimia tertentu. Penyakit yang termasuk dalam kategori alahan adalah seperti alahan hidung (allergy rhinitis), asma (asthma), alahan mata (allergy conjunctivitis), ekzema, urtikaria dan sebagainya. Alahan akan menyebabkan penurunan pada kualiti hidup dan kurang daya tumpuan pada seseorang disebabkan kegatalan, ketidakselesaan dan kesukaran bernafas. Keadaan alahan yang serius boleh membawa kepada kematian. Oleh itu, adalah penting kita mengenali jenis-jenis alahan, tahap alahan dan punca kepada alahan. Untuk mengetahui punca alahan, terdapat ujian saringan alahan yang boleh dijalankan di klinik atau hospital yang menawarkan ujian ini.

Ujian alahan dapat dibahagikan kepada dua iaitu ujian in-vitro (melalui pengambilan darah, specific IgE) dan ujian in-vivo (melalui ujian ‘skin prick test’). Ujian skin prick test merupakan ujian yang selalu dijalankan kerana keputusan yang cepat dan tepat kecuali bagi pesakit yang mempunyai kontraindikasi untuk menjalankan ujian ini. Menurut kajian yang telah dijalankan, ujian ini mempunyai tahap sensitiviti dan spesifik yang tinggi (70-95% dan 80-97%) terutama bagi mengetahui alahan terhadap alergen inhalasi.  Oleh kerana ujian ini merupakan ujian saringan, sekiranya keputusan ujian adalah negatif tidak bermaksud pesakit tidak mempunyai alahan terutamanya bagi pesakit yang mempunyai simtom-simtom alahan yang nyata. Ujian negatif ini terdapat beberapa kemungkinan seperti pesakit mengambil ubat-ubatan yang boleh menghalang mekanisma alahan, alergen yang digunakan untuk ujian ini terlampau cair atau kulit mempunyai reaksi yang rendah terhadap ujian ini terutamanya pada bayi dan warga tua.

Antara kontraindikasi ujian skin prick test’ ini adalah pesakit tidak/kurang bekerjasama, keadaan kulit yang tidak membolehkan ujian ini dijalankan seperti ekzema yang teruk, dermatografisma yang teruk, pesakit tidak boleh berhenti mengambil ubat yang menyebabkan ujian menjadi negatif seperti antihistaminedan krim mengandungi steroid. Kontraindikasi relatif pula adalah penyakit asma yang berterusan atau tidak stabil, wanita mengandung, bayi dan pesakit yang mengambil ubat beta-blocker. Bagi pesakit-pesakit ini, sekiranya ingin melakukan ujian alahan, ujian in-vivo (specific IgE) iaitu melalui pengambilan darah dan dihantar ke makmal boleh dilakukan. Walaubagaimanapun, ujian tersebut memerlukan kos yang agak tinggi dan keputusan boleh didapati dalam masa yang lebih lama dari ujian ‘skin prick test’ iaitu satu hari hingga beberapa minggu bergantung kepada makmal yang mengendalikan ujian tersebut.

Di Pusat Alergi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan UKM, ujian ‘skin prick test’ dijalankan setiap hari waktu bekerja. Pesakit akan diberi temujanji bagi menjalani ujian tersebut. Pesakit akan diberi sehelai kertas yang menyenaraikan ubat-ubatan yang tidak boleh diambil bersama dengan tempoh larangan pengambilan ubatan tersebut sebelum ujian dijalankan. Pada tarikh temujanji pesakit akan diberi proforma untuk diisi oleh pesakit. Proforma tersebut mengandungi maklumat peribadi pesakit seperti nama, umur, pekerjaan dan sebagainya, jenis alahan, simtom-simtom alahan, maklumat keluarga, tempat tinggal dan ubat-ubatan yang telah pesakit ambil untuk alahan yang dialami. Pesakit akan diterangkan mengenai cara ujian ini dijalankan oleh seorang pegawai perubatan yang bertugas sebelum menandatangani borang keizinan melakukan ujian tersebut.

Ujian ini akan dilakukan pada lengan dalam pesakit. Lengan pesakit akan dibersihkan terlebih dahulu sebelum  lengan tersebut dilabelkan menggunakan pita pelekat bernombor. Lebih daripada 30 alergen akan dititiskan pada lengan tersebut mengikut nombor pada borang keputusan ujian. Kemudian, lengan pesakit akan dicucuk sedikit menggunakan lanset bagi memasukkan alergen tersebut ke dalam lapisan kulit. Kedalaman cucukan hanyalah pada lapisan kulit sahaja. Keputusan akan dibaca selepas 15-20 minit yang mana keputusan yang positif adalah benjolan kecil pada kulit seperti gigitan nyamuk. Benjolan tersebut akan diukur bagi menentukan tahap keterukan alahan pesakit pada alergen tersebut.

Alergen dititiskan pada lengan

Cucukan dibaut menggunakan lancet

Contoh keputusan ujian selepas 15-20 minit

Keputusan ditanda dan diukur sebelum didokumentasi

Satu kajian mengenai kekerapan alergen pada kanak-kanak yang mempunyai alahan hidung (Sensitisation to common allergens in children with allergic rhinitis) telah dijalankan oleh Pusat Alergi, Di Pusat Alergi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan UKM dan diterbitkan oleh ‘Brunei International Medical Journal’. Dalam kajian ini  majoriti kanak-kanak mempunyai alahan terhadap lebih dari satu alergen. Dalam 61% daripada kanak-kanak yang mempunyai alahan hidung alah terhadap alergen inhalasi, 39% mempunyai alahan terhadap makanan dan 0.6% mempunyai alahan terhadap bahan sentuhan seperti getah. Alergen inhalasi yang paling tinggi adalah hama habuk diikuti lipas, rumput, bulu kucing dan kulat. Manakala makanan yang paling tinggi menyebabkan alahan dalam kajian ini adalah makanan laut iaitu ketam, udang dan sotong. Walau bagaimanapun, kajian yang dijalankan di negara lain di Asia Tenggara menunjukkan alahan yang tinggi pada telur, susu lembu dan kacang tanah pada kanak-kanak.

Adalah sangat disarankan agar pesakit-pesakit yang mempunyai simtom-simtom alahan untuk datang berjumpa doktor bagi mendapatkan nasihat, rawatan dan rujukan yang sepatutnya. Ujian saringan alahan hanya dijalankan oleh klinik atau hospital tertentu.

 

Oleh :

Dr Farah Dayana Zahedi
Pensyarah / Pakar Otorinolaringologi
Jabatan Otorinolaringologi
Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan UKM