PENGENALAN

Pusat Antarabangsa Casemix dan Pengekodan Klinikal yang lebih dikenali sebagai ITCC merupakan salah sebuah pusat kecemerlangan yang memainkan peranan penting di Hospital Canselor Tuanku Muhriz sebagai sebuah pusat perkhidmatan koding, inkubator penyelidikan dan pendidikan di dalam bidang koding penyakit, Casemix dan perkhidmatan hospital. Ianya adalah bertujuan untuk melatih sumber manusia yang mahir di dalam bidang koding klinikal, dan Casemix yang amat penting di dalam sistem perkhidmatan kesihatan bagi menjamin pemberian rawatan kesihatan yang berkualiti dan juga efisien.

Pusat yang berorientasikan akademik dan perkhidmatan ini bertanggungjawab dalam pengekodan diagnosis penyakit dan pembedahan dan penyediaan data penyakit serta memberikan perkhidmatan latihan, penyelidikan dan inovasi di dalam bidang ini kepada peserta dari dalam dan juga luar negara.

Pusat ini juga berperanan dalam pengajaran dan penyelidikan di mana pusat ini menerima pelajar-pelajar pada peringkat Sarjana dan juga Doktor Falsafah untuk menjalankan kajian mereka di sini. ITCC aktif menjalankan penyelidikan dalam bidang casemix dan juga ekonomi kesihatan. Projek-projek penyelidikan dan perundingan peringkat antarabangsa yang dikendalikan oleh Pusat ini dibiayai oleh agensi-agensi antarabangsa termasuklah Asian Development Bank, GIZ, WHO dan juga AUSAID.

Pusat yang diasaskan oleh Prof. Dato’ Dr. Syed Mohamed Al Junid dan diketuai oleh Prof. Madya Dr. Azimatun Noor Aizuddin itu kini mendapat permintaan yang tinggi untuk melatih kakitangan di hospital-hospital rantau ini untuk meningkatkan kemahiran di dalam bidang koding penyakit dan prosedur dan melaksanakan Sistem Casemix.