Tabung Kebajikan Pesakit PPUKM (TKPPPUKM)

PENGENALAN

Pusat Perubatan UKM ( PPUKM ) merupakan  sebuah pusat pengajar dan kepakaran perubatan yang beroperasi sejak tahun 1997.  Hingga tahun 2009, kira-kira 873 buah katil telah dibuka bagi memenuhi keperluan pesakit-pesakit yang semakin bertambah termasuk rujukan dari negeri Sabah dan Sarawak. Secara purata dalam setahun, seramai lebih 360,000 pesakit menerima rawatan sebagai pesakit luar dan kemasukan pesakit ke wad pula berjumlah 36,000 orang.

Perkhidmatan terbaik disediakan kepada semua pelanggan PPUKM termasuklah bagi mereka yang berkemampuan,  tidak berkemampuan serta pelanggan yang kurang upaya tanpa mengira batasan usia, bangsa, agama dan jantina. Memandangkan keperluan bantuan perubatan yang semakin meningkat dan terdapat pesakit-pesakit yang memerlukan bantuan kecemasan dan segera, maka pihak pengurusan  telah mengambil inisiatif bagi menubuhkan tabung yang dinamakan “Tabung Kebajikan Pesakit Hospital UKM” pada 30 Mac 2000.  Melalui penubuhan tabung ini, badan-badan korporat, swasta, pertubuhan-pertubuhan sukarela dan juga orang perseorangan  dapat menyampaikan sumbangan bakti untuk pembiayaan rawatan pesakit yang benar-benar memerlukan bantuan.

OBJEKTIF PENUBUHAN TABUNG KEBAJIKAN PESAKIT PPUKM

  1. Membantu dan memastikan pesakit-pesakit yang kurang berkemampuan dapat menerima rawatan dan pemulihan di Pusat Perubatan UKM.
  2. Menyalurkan bantuan dan keperluan rawatan yang diperlukan oleh pesakit dalam kadar segera dengan tempoh kelulusan bantuan yang singkat.
  3. Memastikan keperluan rawatan disalurkan kepada golongan pesakit yang layak dan memerlukan melalui penilaian yang terancang.

JENIS-JENIS BANTUAN

BANTUAN PERALATAN PERUBATAN

Antara bantuan peralatan yang diperlukan melibatkan pesakit-pesakit dari unit klinikal pediatrik, ortopedik, kardiologi, onkologi, hematologi, nefrologi, respiratori, oftalmologi, otorinaringologi dan surgeri. Contohnya seperti central line, suction machinecolostomy  bagchemo pot, kerusi roda, cochlear implantoxygen concentrator dan sebagainya.

BANTUAN UBAT-UBATAN

Tabung menyediakan bantuan ubat-ubatan untuk ubat non-formulary (ubat yang tidak dibekalkan oleh kerajaan) tetapi mesti ubat yang diluluskan penggunaannya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

BANTUAN AM

Pembiayaan kos pengangkutan sebelum dan selepas rawatan serta bantuan perbelanjaan kecemasan semasa dalam rawatan di hospital.

KAEDAH PENGURUSAN TABUNG KEBAJIKAN PESAKIT PPUKM

Tabung ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Tabung Kebajikan Pesakit PPUKM yang terdiri daripada Dekan Fakulti Perubatan dan Pengarah PPUKM,  Ketua Pegawai Operasi, Ketua Jabatan Kerja Sosial Perubatan, Ketua Jabatan Kewangan, Ketua Jabatan Pengurusan Kejururawatan dan Ketua Farmasi, Ketua Jabatan Pentadbiran serta seorang wakil  pakar   klinikal.

Laporan kewangan tahunan tabung akan diaudit oleh juruaudit dalam dan luar yang dilantik oleh pihak pengurusan PPUKM. Semua wang dimasukkan ke dalam akaun khas PPUKM dan  dikecualikan daripada cukai pendapatan.

KAEDAH AGIHAN TABUNG

Proses pengagihan dan penyaluran bantuan Tabung Kebajikan Pesakit PPUKM adalah seperti berikut:

  1. Pegawai Perubatan mengesahkan pesakit jenis keperluan bantuan dan merujuk pesakit kepada Pegawai di Jabatan Kerja Sosial Perubatan  PPUKM.
  2. Pegawai Kerja Sosial Perubatan akan melakukan penilaian sosioekonomi yang disusuli dengan laporan lengkap bagi permohonan yang layak dikemukakan  kepada Jawatankuasa untuk pertimbangan kelulusan berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh Jawatankuasa TKPPPUKM
  3. Proses pemberian bantuan kepada pesakit yang diluluskan permohonannya akan kendalikan oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan sehingga selesai.

KAEDAH MEMBERI SUMBANGAN

Sumbangan kewangan yang ingin disalurkan kepada tabung hendaklah atas nama Hospital UKM melalui cek/ postal order/ money order dan dituliskan  “Tabung Kebajikan Pesakit  PPUKM” di belakang cek/ postal order/ money order berkenaan.

Resit diberikan bagi setiap sumbangan dan sumbangan anda dikecualikan dari cukai pendapatan menurut Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (Rujukan: 01/35/42/51/179-6.1412).

Kakitangan UKM yang ingin memberi sumbangan melalui potongan gaji boleh mengisi borang persetujuan dan dihantar ke Jabatan Kewangan PPUKM. (Muat turun – Borang Persetujuan)

Kakitangan yang ingin memberi sumbangan secara Tunai / Cek / Kiriman Pos boleh mengisi borang persetujuan dan dihantar ke Jabatan Kewangan PPUKM.