KLINIK BERHENTI MEROKOK (KBM) DI KLINIK PRIMER CHERAS

Klinik Berhenti Merokok (KBM) di Klinik Primer Cheras PPUKM mula ditubuhkan pada 2010 hasil usahasama di antara Jabatan Perubatan Keluarga dan Jabatan Farmasi. Klinik ini dikendalikan oleh Pakar Perubatan Keluarga yang berpengalaman dalam membantu pesakit berhenti merokok. Tujuan utama KBM adalah bagi membantu perokok yang ingin dan bertekad untuk membuang tabiat yang merbahaya ini.

Terdapat dua jenis program berhenti merokok yang ditawarkan iaitu:

PROGRAM INDIVIDU

Bagi perokok yang bersedia dan bersungguh-sungguh untuk berhenti merokok dalam masa yang terdekat.

PROGRAM BERKUMPULAN

Bagi perokok yang teringin berhenti merokok tetapi masih belum cukup bersedia.

Program berkumpulan ini menawarkan kaunseling berkumpulan dan individu bagi meningkatkan motivasi perokok untuk berhenti merokok. Tempoh rawatan adalah selama 6 bulan dengan 7 temujanji. Sepanjang rawatan, perokok juga akan disaring untuk penyakit kronik yang lain dan rawatan sewajarnya akan diberikan oleh Pakar Perubatan Keluarga / Pegawai Perubatan.

Ramai perokok sedar kesan berbahaya rokok kepada diri sendiri dan orang-orang yang tersayang. Sebahagian daripada mereka pernah mencuba untuk berhenti sendiri namun tidak berjaya kerana mengalami ketagihan nikotin, Antara gejala ketagihan nikotin adalah mempunyai keinginan untuk merokok yang sangat kuat (‘craving’), sukar untuk menumpukan perhatian, mudah marah serta merasa gelisah atau murung. Dengan adanya bantuan profesional, ubat-ubatan dan terapi tingkah laku yang diberikan oleh pegawai perubatan yang bertauliah di Klinik Berhenti Merokok (KBM), usaha perokok untuk berhenti merokok dan merawat ketagihan nikotin adalah lebih mudah. Tanpa bantuan profesional, hanya 4-7 orang daripada 100 perokok akan berjaya berhenti merokok.

Sejak penubuhan klinik ini, ramai perokok telah berjaya berhenti merokok dengan bantuan kami.

Sekiranya anda adalah seorang perokok dan ingin berhenti merokok, hubungi kami di 03-9171 0796/ 0230 untuk berurusan dengan jururawat Klinik Berhenti Merokok kami untuk maklumat lanjut.