HCTM Sebagai Penanda aras Universiti Malaysia Sabah dalam Penubuhan Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Keperluan Khas

Oleh Noorlaily Abdul Rahim
Foto Muhammad Shahrul Izwan Halim

CHERAS, 28 Mac 2019– Hospital Canselor Tuanku Muhriz telah menerima kunjungan lapan orang delegasi Universiti Malaysia Sabah (UMS) daripada Pusat Pelaburan dan Endowmen, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Psikologi dan Pendidikan, dan Pusat Minda Lestari Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Lawatan telah disambut mesra oleh Pengarah HCTM, pegawai kanan dan beberapa wakil jabatan di Bilik Mesyuarat Lembaga, Tingkat 1, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Jaafar. Prof. Madya Dr. Mohd Rahimie Abd Karim, Pengarah Pusat Pelaburan dan Endowmen UMS yang mengetuai lawatan ini memaklumkan objektif utama lawatan adalah untuk bertukar-tukar maklumat, membincangkan perkara-perkara berkaitan dengan keperluan operasi pusat penjagaan kanak-kanak keperluan khas, keperluan rehabilitasi dan fisioterapi kanak-kanak khas. UMS dalam perancangan menubuhkan pusat jagaan kanak-kanak keperluan khas, dan lawatan ini diharapkan dapat memberi input serta maklumat berguna untuk penubuhan pusat tersebut.

Perbincangan dan sesi soal jawab antara wakil UMS dan HCTM diadakan hampir dua jam sebelum delegasi dibawa melawat ke Pusat Kembangan Kanak-kanak dan Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan untuk melihat dengan lebih dekat kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan.