Bingkisan Syawal Tanda Keprihatinan HCTM Kepada Pesakit

Oleh : Noorlaily Abdul Rahim

CHERAS, 28 Mei 2019 – Program Bingkisan Syawal 1440H anjuran Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) telah diadakan pada pukul 2.00 petang di Wad Pediatrik 4D, Tingkat 4, Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

Sumbangan berupa 360 goodie bag dan wang tunai telah diberikan kepada para pesakit di wad perubatan, wad surgeri, dan wad warga. Sumbangan ini sebagai tanda keprihatinan pengurusan HCTM UKM dan Kampus Kuala Lumpur UKM (KKL UKM) yang akan menjelang Aidilfitri tidak lama lagi. Sumbangan tersebut telah ditaja oleh Ronald McDonald House Charity (RHMC), Jabatan Bendahari KKL, dan Jabatan Perkhidmatan Makmal Diagnostik HCTM.

Hadir dalam program Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah HCTM, timbalan-timbalan pengarah KKL dan HCTM, En. Azhari bin Abd Taharim, Pengerusi Jawatankuasa Rumah Ronald McDonald dan Pn. Shazana Yeoh binti Abdullah, RMHC Malaysia.