HCTM Menerima Sumbangan Tabung Kebajikan Pesakit Hospital (TKPH) Lembaga Zakat Selangor Fasa II/2018

SHAH ALAM, 8 Oktober 2018 (Isnin) –  Majlis Serahan Sumbangan Tabung Kebajikan Pesakit Hospital (TKPH) Lembaga Zakat Selangor Fasa II/2018 telah diadakan di Auditorium Aras 2, Hospital Shah Alam jam 2.00 petang.

Sumbangan dana Tabung Kebajikan Pesakit Hospital Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah disampaikan oleh DYMM Tengku Permaisuri Norashikin, Tengku Permaisuri Selangor kepada 18 buah hospital pada hari ini.

Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) telah hadir ke majlis serahan ini dan menerima sumbangan dana zakat sebanyak RM1.25 juta secara keseluruhan pada tahun 2018 iaitu RM 250,000 bagi Fasa 1 dan sebanyak RM1 juta diterima pada Fasa 2.

Dana ini disalurkan untuk membantu pembiayaan kos peralatan dan ubatubatan bagi pesakit-pesakit Islam Selangor yang tidak berkemampuan dan mendapatkan rawatan di HCTM. Sumbangan dan kerjasama erat pihak hospital melalui Jabatan Kerja Sosial Perubatan, HCTM UKM dengan LZS yang terjalin sejak lebih 10 tahun lalu telah banyak membantu dari segi kos perubatan pesakit di HCTM.

Jabatan Kerja Sosial Perubatan, HCTM UKM dipertanggungjawabkan menyelaras segala bentuk bantuan yang disalurkan kepada pesakit yang menerima rawatan di HCTM mengikut kelayakan yang telah ditetapkan. Sehingga kini, keseluruhan dana terkumpul untuk Tabung Kebajikan Pesakit HCTM dianggarkan sebanyak RM 5 juta. Pada tahun ini sahaja dianggarkan lebih 450 orang pesakit telah diberikan bantuan kos perubatan daripada Tabung Kebajikan Pesakit di HCTM.

Turut hadir dalam majlis tersebut Dato’ Dr. Haji Azman Abu Bakar, Timbalan Ketua Pengarah Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Oleh : Hafizah Mohamad Isa