HCTM Raikan Rakan Media Melalui Sukan Badminton

Oleh : Pejabat Pengarah HCTM UKM
Foto : Pejabat Pengarah HCTM UKM

CHERAS, 27 Mac 2019 –  Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) melalui Kelab Badminton Pusat Perubatan UKM (Medic RC) telah meraikan rakan media dalam satu perlawanan persahabatan badminton yang telah diadakan pada 27 Mac 2019 di Kompleks Komuniti Bandar Tun Razak. Pasukan Rakan Media diketuai oleh penyanyi lagenda dan juga merupakan usahawan Berjaya iaitu Dato’ DJ Dave (Irwan Shah) yang turut disertai oleh beberapa rakan artis dan media daripada RTM.

Perlawanan yang telah diatur oleh Penaung Pasukan Medic RC iaitu Prof. Dato’ Dr Hanafiah Harunarashid ini telah menjadi satu platform kepada HCTM dalam memastikan objektif untuk melahirkan warga masyarakat aktif, sihat dan mampu mengeratkan hubungan yang kuat pelbagai profesion tidak terhad dalam bidang perubatan kesihatan malahan merentasi warga komuniti awam termasuk rakan artis dan media.Prof. Dato’ Dr Hanafiah berkata ‘sukan badminton adalah untuk semua golongan dan ia merupakan satu wadah yang terbaik kepada Warga Perubatan Kesihatan untuk kekal sihat, aktif dan mewujudkan jaringan strategik dengan mana-mana pihak’. Beliau juga menyatakan bahawa sukan badminton merupakan sukan utama Negara yang boleh dimainkan oleh semua lapisan masyarakat.Manakala Dato’ DJ Dave pula berkata ‘Ini merupakan satu permulaan yang baik kepada rakan media dan artis untuk menjalinkan kerjasama serta menyokong usaha HCTM dalam mempromosikan gaya hidup sihat kepada warga dan masyarakat’. Beliau juga menyeru lebih ramai rakan artis dan media untuk bersama-sama dalam menyemarakkan usaha yang beliau lakukan ini. Ini jelas dapat dibuktikan oleh Dato’ DJ Dave sendiri, apabila beliau sebagai role model kerana pada usia beliau masih mampu bersukan dan bermain badminton dengan baik serta menyertai kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Perlawanan telah diadakan dalam beberapa kategori dan berpihak kepada Kelab Medic RC (HCTM) dengan keputusan 7-2. Perlawanan timbal balik akan diaturkan semula sebagai tanda semangat kerjasama dan kesukanan yang tinggi oleh kedua-dua pasukan.

SYABAS DAN TANHIAH.