HCTM Terima RM200,000 daripada MAIWP

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

CHERAS, 16 Mei 2019 – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Kampus Kuala Lumpur Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menerima sumbangan Tabung Kebajikan Hospital Wilayah Persekutuan sebanyak RM200,000 daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi membantu pesakit-pesakit yang memerlukan.

Sumbangan itu telah disempurnakan oleh DYMM Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, untuk tahun ini jumlah yang diperuntukan MAIWP untuk sumbangan Tabung Kebajikan Hospital Wilayah Persekutuan adalah bernilai RM1.25 juta melibatkan 14 hospital dan pusat perubatan.

“Menyediakan perkhidmatan perubatan dan kesihatan adalah satu tuntutan agama ke atas masyarakat iaitu fardhu kifayah yang perlu disempurnakan oleh mereka yang mempunyai kepakaran dalam ilmu perubatan.

“Oleh itu, telah menjadi tanggungjawab mereka untuk memberi bantuan dan perkhidmatan yang terbaik dan sewajarnya kepda pesakit,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pengurniaan Sumbangan Tabung Kebajikan Hospital Wilayah Persekutuan di HCTM baru-baru ini.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, UKM telah menjalankan pelbagai usaha dalam membantu pesakit-pesakit yang memerlukan dan amat mengalu-alukan sumbangan daripada pelbagai pihak.

“Sejak tahun 2002, MAIWP telah memberi sumbangan kepada HCTM sebanyak RM3,992,825 yang dapat membantu kira-kira 1,500 orang pesakit.

“Sumbangan itu disalurkan untuk membiayai kos alat bantu pemulihan pesakit seperti kerusi roda, oxygen concentrator, suction pump, ripple matress, serta membiayai kos ubat-ubatan dan peralatan implant,” ujarnya.

14 hospital dan pusat perubatan itu menerima sumbangan antara RM50,000 hingga RM200,000. Antaranya ialah Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Putrajaya, Majlis Kanser Nasional, Institut Jantung Negara dan Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia.

Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut meluangkan masa melawat wad kanak-kanak dan memberi sumbangan duit raya serta hamper kepada kanak-kanak di wad tersebut.

Turut hadir ialah Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.