HCTM UKM Bersama MIASA Memeriahkan Lagi Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Bersama Pesakit Psikiatri

Oleh Hafizah Mohamad Isa
Foto Noorashikin Yusof

CHERAS, 23 Januari 2019 – Jabatan Psikiatri, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) dengan kerjasama Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) telah mengadakan majlis sambutan Tahun Baharu Cina di Pusat Psikiatri Komuniti dan Intervensi Psikososial, Jabatan Psikiatri HCTM UKM pada hari ini.

Sambutan ini menjadi lebih bermakna dengan kehadiran YAM Tengku Puteri Iman Afzan Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke majlis tersebut untuk bersama – sama meraikannya dengan para pesakit, keluarga pesakit, sukarelawan dan kakitangan HCTM. Turut bersama adalah Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah HCTM, Prof. Dr. Marhani Midin, Ketua Jabatan Psikiatri dan Puan Anita Abu Bakar Presiden MIASA.

Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, dalam ucapannya, telah mengalu-alukan kehadiran kerabat diraja Pahang ke majlis ini merupakan suatu penghormatan dan pengiktirafan kepada warga HCTM amnya dan warga Jabatan Psikiatri khasnya. Beliau berharap program seperti ini akan dapat diteruskan dari semasa ke semasa serta sangat bangga dengan pihak MIASA yang diketuai oleh Puan Anita Abu Bakar.

Sementara, Prof. Dr. Marhani Midin dalam ucapannya berkata, keistimewaan program pada kali ini, ia dikendalikan oleh pesakit psikiatri HCTM itu sendiri. Sebelum ini, pesakit tidak bersedia untuk bergaul dengan masyarakat luar disebabkan faktor kesihatan mereka. Tetapi hari ini, kita dapat melihat sikap keterbukaan yang mereka pamerkan, hasil kerjasama dan keakraban yang terjalin antara kakitangan Jabatan Psikiatri dan MIASA.

 

Para tetamu jemputan dihidangkan dengan beberapa persembahan oleh pesakit, penyampaian cenderamata, cabutan bertuah dan jamuan ringan sempena sambutan tahun baharu cina. Program seperti ini juga telah berjaya menyatukan golongan ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kepercayaan.

YAM Tengku Puteri Iman Afzan diiringi Pengarah HCTM seterusnya melawat ke wad – wad psikiatri untuk bertemu dengan pesakit yang menerima rawatan di HCTM.

Jabatan Psikiatrik yang diketuai oleh Prof. Dr. Marhani Midin terdiri daripada sepuluh Pakar Psikiatri serta (2) dua Pakar Klinikal Psikologi yang terlibat secara aktif menyumbangkan tenaga dan khidmat bakti untuk memberikan perawatan yang terbaik kepada pesakit-pesakit Psikiatri dan merupakan hospital pertama di Malaysia yang mengamalkan rawatan pesakit Psikiatri di dalam Wad secara Wad Terbuka.