Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM Meraikan Para Pesara Dengan Penuh Penghargaan

Oleh : Hafizah Mohamad Isa
Foto : Hafizah Mohamad Isa

Cheras, 16 April 2019 – Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM)  meraikan seramai 30 orang pesara iaitu 7 lelaki dan 23 perempuan dengan 18 orang bersara wajib, 10 bersara pilihan, seorang bersara atas sebab kesihatan dan seorang bersara terbitan (Allahyarham Muhd. Khairul Azhari bin Ahmad Asri – Jururawat) pada hari ini bertempat di ruang Galeri, Blok Pendidikan Kampus Kuala Lumpur UKM. Mereka adalah pesara bagi tahun 2018.

Turut hadir bersama adalah Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur) UKM, Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah HCTM UKM, Timbalan-Timbalan Pengarah Kampus Kuala Lumpur, Timbalan-Timbalan Pengarah HCTM, Ketua-Ketua Jabatan HCTM dan Fakulti Perubatan UKM, Puan Nadia Nor Awal, Ketua Bahagian Sumber Manusia, KKL serta Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah (Pentadbiran) yang juga Pengerusi JK Induk Majlis Jasamu Dikenang HCTM 2019.

Encik Zulkifli Ahmad, bekas Pengawal Keselamatan HCTM telah dipilih menyampaikan ucapan mewakili pesara yang diraikan. Pada tahun ini  seoran pesara orang warga HCTM telah kembali ke rahmatullah (Allahyarham Encik Mazli Johari – Pembantu Operasi) dan seorang pencen terbitan (Allahyarham Muhd. Khairul Azhari bin Ahmad Asri – Jururawat)

 Majlis pada kali ini bertemakan “Jasamu Dikenang” telah dipilih bersesuai dengan jasa dan sumbangan para pesara yang telah berkhidmat di HCTM. Mereka telah yang banyak menabur jasa dalam pelbagai bidang kerjaya masing-masing bagi merialisasikan matlamat, visi dan misi HCTM. Kejayaan dan kecemerlangan yang dicapai oleh HCTM sekarang ini adalah hasil daripada jasa dan sumbangan mereka.

Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah HCTM UKM, dalam ucapan beliau merakamkan jutaan penghargaan dan terima kasih di atas segala jasa dan sumbangan yang telah rakan-rakan pesara berikan kepada HCTM dan berdoa agar semua rakan-rakan pesara sekalian terus diberikan kekuatan, kesihatan, rezeki dan keimanan oleh Allah SWT serta berharap hubungan erat berkekalan. Sementara itu, Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur) UKM telah diberi penghormatan untuk menyampaikan cenderamata kenangan kepada semua pesara dan waris yang hadir.

Berita berkaitan:
 https://www.ppukm.ukm.my/bsmkkl/news/majlis-meraikan-pesara-tahun-2018/