LAWATAN KHIDMAT MASYARAKAT SINGER (M) KE WAD PEDIATRIK

CHERAS, 9 Ogos 2018 – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Kampus Kuala Lumpur telah menerima kunjungan daripada Singer (M) Sdn Bhd Cawangan Wilayah Central Region. Wakil Pengurus Singer Cawangan Wilayah, Encik Prabakaran Nair bersama dengan 10 orang kakitangan Singer telah hadir ke Wad Pediatrik HCTM di Tingkat 4 untuk menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyampaikan sumbangan kepada pesakit kanak-kanak.

Sempena Ulangtahun Singer(M) yang ke-112, sebanyak 112 ekor anak patung beruang yang dijahit sendiri telah disumbangkan kepada semua pesakit kanak-kanak di wad berkenaan. Selain itu, Singer juga turut menyumbangkan beberapa peralatan elektrik untuk keperluan wad dan jabatan Pediatrik. Kehadiran pihak Singer telah memberikan kegembiraan kepada pesakit kanak-kanak yang menerima rawatan di HCTM.

Turut hadir bersama dalam sesi penyampaian sumbangan ialah Profesor Madya Dr. Hasniah Abdul Latiff, Ketua Jabatan Pediatrik HCTM dan pengurus jururawat disiplin Pediatrik. Aktiviti kemasyarakatan seperti ini amat digalakkan kerana dapat memberi motivasi kepada pesakit kanak-kanak untuk terus berusaha sembuh.