LAWATAN: Menteri Pendidikan Malaysia Melawat Sekolah Dalam Hospital (SDH)

CHERAS, 15 November 2018 – Dr. Maszlee Bin Malik, Menteri Pendidikan Malaysia, telah mengadakan lawatan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk melihat sendiri Sekolah Dalam Hospital (SDH) di Aras 4, Wad Pediatrik HCTM dengan lebih dekat dan disambut oleh Pengurusan Tertinggi UKM diketuai Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd. Marzuki Mustafa serta, Pengurusan Kampus Kuala Lumpur diketuai oleh Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal dan Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah HCTM juga turut disertai Prof. Dr. Zaleha Abdullah Mahdy, Dekan Fakulti Perubatan.

Rombongan KPM menghabiskan masa hampir 15 minit melihat sesi pembelajaran di SDH. Sekolah Dalam Hospital (SDH) ditubuhkan pada 18 September 2012 dengan objektif untuk memastikan pendidikan dapat diakses oleh semua kanak-kanak tanpa batasan dan keadaan, menyediakan pendidikan berterusan secara formal dan berstruktur dalam persekitaran yang kondusif bagi murid yang sedang dirawat di hospital, serta memberi rangsangan kepada murid untuk meneruskan pembelajaran supaya tidak tercicir dalam pelajaran.

Seterusnya delegasi dibawa melawat ke Pusat Kembangan Kanak-kanak di Aras G, dan melawat sekitar Kampus Kuala Lumpur UKM dengan menaiki kenderaan. Antara lokasi lawatan ialah Advanced Surgical Skills Centre, UNU-IIGH, Taska HCTM, Ronald McDonald  Charity House, Pusat Gamma Knife dan destinasi lawatan berakhir di Institut Perubatan Molekul UKM (UMBI). Delegasi diberi penerangan ringkas mengenai status terkini pembangunan Hospital Pakar Kanak-kanak UKM yang dijangka beroperasi pada tahun 2019 dan juga wawasan UKM dalam penubuhan Health Technopolis di Cheras.

Turut hadir YBhg. Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Binti Tapsir Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, dan pegawai-pegawai kanan KPM dan pegawai kanan UKM yang lain termasuk Prof. Dr. Hj. Mohd. Ekhwan Toriman, Prof. Dato’ Dr. Nor Ghani Nd. Nor, Prof. Dr. Ishak Yusof. Pegawai kanan lain termasuk Timbalan-timbalan Pengarah Pejabat Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, Timbalan-timbalan Pengarah HCTM, Ketua Jabatan Pediatrik serta Ketua Pusat Perkembangan Kanan-kanak.