Perutusan Tahun Baru 2018 – Dekan Fakulti Perubatan

YBHG. PROF. DR. ZALEHA ABDULLAH MAHDY

Perutusan Tahun Baru 2018

Warga Fakulti Perubatan UKM yang dikasihi,

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi, kita masih dipanjangkan usia dan diberi peluang melangkah ke tahun baru 2018. Setelah PPUKM melalui perubahan pentadbiran pada 15 November 2017, kini tiba saatnya untuk pelancaran struktur baru semua fakulti di UKM termasuk Fakulti Perubatan, yang dijadualkan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2018.

Aspek utama dalam struktur baru ini ialah terbitnya jawatan-jawatan pentadbiran baru di bawah kedekanan dan lahirnya Pusat-pusat Penyelidikan di bawah Sekretariat Penyelidikan dan Inovasi, bertujuan meningkatkan kecekapan jentera pentadbiran fakulti dan memantapkan tujahan dan pemantauan dalam bidang penyelidikan, penerbitan dan inovasi.

Setiap perubahan mesti ada cabaran dalam pelaksanaannya. Namun di sebalik berbagai cabaran yang mendatang, ada bibit-bibit kemajuan yang menunggu untuk digilap dan diserlahkan. Tahun ini merupakan era yang menarik dan mengujakan dari segi teknologi pendidikan tinggi. Banyak perubahan yang menanti untuk dilaksanakan dari segi kemajuan teknologi, selaras dengan Revolusi Industri Keempat. Fakulti kita komited dalam meneraju pembaharuan asalkan cetusan-cetusan minda ini diberikan kebebasan dan rangsangan untuk bertunas dan bercambah. Di antara usaha-usaha pembaharuan yang telah pun dirancang bagi tahun 2018 ialah penubuhan sebuah pusat simulasi bersepadu yang menggunakan teknologi terkini demi mencipta kaedah pendidikan perubatan tercanggih, dan sebuah pusat inovasi teknologi kesihatan sebagai wadah bagi mengembangkan kreativiti ahli-ahli akademik dan pelajar. Penggunaan aplikasi mudah alih akan diperluas dalam pengajaran dan pembelajaran. Citra dan MOOC pula akan terus dipertingkatkan.

Perubahan pentadbiran PPUKM yang melibatkan pemisahan antara governan hospital dan fakulti merupakan antara langkah terawal ke arah pewujudan Teknopolis Kesihatan UKM. Walaupun berlaku pemisahan pentadbiran namun semangat perpaduan, kebersamaan dan keserakanan (commonality and collegiality) hendaklah terus dipupuk dalam kalangan seluruh warga fakulti dan hospital. Ibarat pepatah, bekerja bagai aur dengan tebing, saling bahu-membahu menerjah arus dan badai.

Kita doakan semoga Gugusan Kesihatan di bawah kedekanan Fakulti-fakulti Perubatan, Pergigian, Farmasi dan Sains Kesihatan, pimpinan HCTM di bawah pengarahnya Prof Madya Dato’ Dr Hanafiah Harunarashid, dan PPUKM serta Kampus Kuala Lumpur seluruhnya di bawah teraju Pro Naib Canselor, Prof Datuk Dr A Rahman A Jamal, terus mara ke hadapan dalam berbagai aspek pengajaran, pembelajaran, perkhidmatan dan penyelidikan, serta bersatu bersama memacu misi “Soaring Upwards”!

Gugusan Kesihatan mantap bersatu,
Berintegriti teguh, beretika mulia,
Sederap sejelekit mara ke mercu,
Sebagai Pendaulat Amanah Negara!

Sekian. Selamat Tahun Baru 2018. Ayuh kita teruskan khidmat cemerlang sebagai satu keluarga besar yang saling menjaga kebajikan satu sama lain serta kepentingan klien kita. Mudah-mudahan kita sentiasa dalam perlindungan dan rahmat Allah SWT!

Profesor Dr Zaleha Abdullah Mahdy
Dekan
Fakulti Perubatan
UKM
1.1.2018