PROGRAM: ALUMNI FAKULTI PERUBATAN, UKM BERI SUMBANGAN RM126,000 KEPADA TABUNG KEBAJIKAN PELAJAR.

 

CHERAS, 5 Mei 2018 – Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia sekali lagi berjaya menganjurkan Larian AlumRun MD UKM 2018 yang berlangsung di Ruang Legar, Bangunan Pra-Klinikal, Kampus Kuala Lumpur, UKM.

Bersesuaian dengan tema pada kali ini “Routes Diverged: Togerther Again” menyaksikan seramai 300 orang peserta telah menyertai larian ini terdiri daripada kalangan pelajar perubatan dan kejururawatan, pensyarah, kakitangan dan juga alumni Fakulti Perubatan. Prof. Datuk Dr. A. Rahman A. Jamal, Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur), UKM telah merasmikan program tersebut pada pagi ini dan sekali gus menyerahkan sumbangan kepada Tabung Kebajikan Pelajar Fakulti Perubatan UKM.

Turut hadir dimajlis berkenaan adalah Prof. Dr. Zaleha Abdullah Mahdy, Dekan Fakulti Perubatan, Prof. Madya Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz serta Prof. Madya Dato’ Dr. Razman Jarmin, Presiden Persatuan Alumni Fakulti Perubatan. Selain itu hadir sama adalah Pengarah UMBI, Pengetua Kolej Tun Dr. Ismail dan Penolong Dekan Hal Ehwal Siswa dan Alumni Fakulti Perubatan.

Menurut Prof. Datuk Dr. A. Rahman, Sebanyak RM126,000.00 telah berjaya dikumpul oleh Alumni Fakulti Perubatan UKM batch 1992.  Beliau percaya dengan dana ini sumbangan dapat diagihkan kepada para pelajar yang memerlukan bantuan untuk menampung keperluan pengajian sepanjang berada di UKM.

Tambahannya lagi, “Program MDUKM AlumRun 2018 adalah satu landasan mengumpul ahli alumni doktor perubatan UKM di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim dengan para pelajar perubatan, memupuk semangat kesukanan dan menerap nilai kerjasama dalam pelbagai aktiviti tanpa mengira agama, bangsa dan kaum”.

Program ini adalah anjuran bersama Pejabat Hal-Ehwal Siswa dan Alumni Fakulti Perubatan UKM, Persatuan Doktor Perubatan UKM (PDPUKM), Graduan Doktor Perubatan UKM 1993, dan Persatuan Mahasiswa Fakulti Perubatan UKM (PERSIAP).