PROGRAM: International Day off Persons with Disabilities Public Awareness Program

CHERAS, 29 November 2018 – International Day of Persons with Disabilities Public Awareness Program telah diadakan di Lobi Utama Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM). Program ini dianjurkan oleh Unit Perubatan Rehabilitasi, Jabatan Ortopedik & Traumatologi, HCTM UKM bersama dengan Yayasan Prihatin Insan, Harry Talents Agency dan Malaysian Association of Rehabilitation Physicians (MARP). Objektif program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang keperluan dan cabaran yang dialami oleh golongan orang kelainan upaya (OKU), membentuk OKU yang mandiri serta menggalakkan masyarakat Malaysia supaya menjadi masyarakat yang inklusif.

Perangkaan menunjukkan, bilangan OKU di Malaysia yang telah berdaftar di Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga akhir Februari 2018 adalah seramai lebih 400,000 orang. Keupayaan golongan ini di negara banyak mencipta pelbagai kejayaan walaupun memegang status OKU. Antaranya, Encik Sukur Ibrahim yang juga merupakan alumni Sarjana Muda Teknologi Maklumat UKM yang telah dianugerahkan OKU Cemerlang Kebangsaan (keusahawanan) dan memiliki sebuah syarikat pemasangan karpet dan juga merupakan seorang penceramah motivasi serta penasihat kewangan.

Program disambut dengan meriah dengan kehadiran lebih kurang 140 peserta. Antara acara-acara yang dijalankan ialah “Wheelchair Zumba” yang disertai oleh 15 orang kelainan upaya dari Kumpulan Sahabat Sokongan Rehab PPUKM (Rehab Support Group PPUKM), Forum OKU bertajuk “Living with Disabilities” dimana lima orang pesakit bersama penjaga mereka ditemuramah mengenai cabaran-cabaran hidup yang telah dilalui sebagai OKU. Peserta ‘Wheelchair Queen Pageant’ dari Harry Talents Agency juga turut serta dengan persembahan tarian dan pertunjukan fesyen yang diadakan. Peserta OKU dari Rumah Harapan Aafiyah juga turut serta membuat persembahan nyanyian dan bacaan sajak. Gerai-gerai jualan daripada pertubuhan-pertubuhan amal seperti Tasputra PERKIM, Beautiful Gate Foundation, Yayasan Prihatin Insan dan kumpulan Sahabat Sokongan PPUKM turut diadakan pada hari itu.

Majlis dirasmikan oleh Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Professor Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali. Turut hadir ialah Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro-Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, Professor Dr. Zaleha Abdullah Mahdy, Dekan Fakulti Perubatan UKM,  Professor Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM,  dan Sr Hj Ishak Ismail, Pengerusi Yayasan Prihatin Insan.