PROGRAM: KERJASAMA ANTARA UKM DAN N2W CORP BAKAL MEMBANGUNKAN APLIKASI PENGURUSAN PERKEMBANGAN AWAL KANAK-KANAK

CYBERJAYA, 16 Nov 2018: Universiti Kebangsaan Malaysia melalui Pusat Perkembangan Kanak-kanak HCTM menandatangani Memorendum Perjanjian bersama Johor Corporation (JCorp) melalui anak syarikat milik penuhnya, N2W Corporation Sdn Bhd (N2W Corp) untuk membangunkan Aplikasi Pengurusan Perkembangan Awal Kanak-kanak.

Pembangunan Aplikasi Pengurusan Perkembangan Awal Kanak-kanak ini mengandingkan kepakaran N2W Corp dalam aspek pembangunan teknologi aplikasi, pelaksanaan dan pemasaran manakala UKM menyumbangkan nasihat, pengetahuan dan maklumat klinikal serta teknikal berhubung keperluan optimum spektrum perkembangan dan tumbesaran kanak-kanak. Inspirasi pembangunan aplikasi ini bertitik tolak berikutan kesedaran berhubung pentingnya perkembangan awal kanak-kanak dipantau secara berkala dan bersistematik bermula di peringkat bayi. Aplikasi tersebut akan mengandungi komponen-komponen kritikal perkembangan kanak-kanak seperti pengurusan kesihatan, pengambilan makanan, pembelajaran asas, koordinasi motor, komunikasi dan interaksi sosial. Ibu bapa boleh memantau tahap kesihatan dan perkembangan awal kanak-kanak, khususnya di kalangan ibu bapa muda yang sibuk dan bekerjaya. Inovasi ini menepati trend lanskap ekonomi dan sosio-ekonomi yang mencabar masa kini.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Profesor Tan Sri Dato’ Seri Dr.Noor Azlan Ghazali, Naib Canselor UKM dan Prof. Dr. Zaleha Abdullah Mahdy mewakili UKM serta Dato’ Kamaruzzaman bin Abu Kassim dan Encik Mohd. Rizatuddin Noor Mohamamed Ramli mewakili N2W, dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di dewan Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC).

Profesor Tan Sri Dato’ Seri Dr.Noor Azlan Ghazali dalam ucapannya berkata transformasi yang bakal diadakan melalui kerjasama ini diharap dapat memperkasakan peranan ibu bapa dengan bantuan perisian maya untuk memantau kesihatan anak-anak. Projek ini juga dijangka dapat memberi pengetahuan kepada ibu bapa tentang kesihatan dan perkembangan awal kanak-kanak untuk meningkatkan skil keibubapaan. Pengesanan masalah kesihatan kanak-kanak oleh ibu bapa perlu dilaksanakan dengan lebih awal supaya pencegahan dapat dijalankan dengan berkesan.

Turut hadir Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan) HCTM, Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh, Timbalan Dekan (Jaringan dan Penjanaan) Fakulti Perubatan, Dr. Juriza Ismail, Ketua Pusat Perkembangan Kanak-kanak dan pegawai kanan lain.