PROGRAM – Lawatan Pendidikan Anak-anak Orang Asli Kg. Chuweh

Seramai 15 orang kanak-kanak orang asli Kg. Chuweh telah hadir ke PPUKM bagi mengikuti Program Pendidikan Anak-Anak Orang Asli Kg. Chuweh anjuran UCTC UKM dengan kerjasama PPUKM. Program selama 3 hari bermula 19 -21 Disember 2016 dijayakan dengan penglibatan fakulti-fakulti di UKM. Fakulti Perubatan diberi peluang untuk mengaturkan sesi pendidikan pada 21 Disember 2016, selama 2 jam untuk memberi pendedahan pendidikan kesihatan kepada anak-anak orang asli ini.

Sesi dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Prof. Madya Dr. Zaleha Md Isa, selaku penyelaras program dan wakil Ketua HEJIM, dan diikuti ucapan pengenalan ringkas mengenai Muzium Anatomi oleh Prof. Madya Dr. Norzana Binti Abd. Ghafar, Ketua Jabatan Anatomi. Setelah selesai sesi pembukaan, aktiviti diteruskan dengan lawatan ke Muzium Anatomi. Muzium Anatomi berada di tingkat 3 Bangunan Praklinikal menempatkan koleksi spesimen jar yang sebahagian struktur tubuh badan atau organ manusia bagi tujuan pembelajaran. Sejak  ditubuhkan, Muzium Anatomi telah berjaya menghasilkan jar spesimen seperti anggota badan atas, anggota badan bawah, sistem  respiratori,  sistem urinari, sistem endokrin, sistem reproduktif, sistem kardiovaskular, toraks, abdomen  dan lain-lain.

Lawatan seterusnya di tingkat 10 iaitu Makmal Parasitologi dimana kanak-kanak diberi penerangan mengenai bahaya parasit seperti cacing gelang, cacing pita dan cacing cambuk. Selain itu, anak-anak orang asli juga boleh melihat dengan lebih dekat cacing yang telah disimpan dalam jar spesimen. Walaupun, sesi ini dihadkan selama 2 jam, pengisian yang diaturkan dapat memberikan input dan pengalaman yang berguna untuk anak-anak ini.