PROGRAM: Majlis Menandatangani MoA UKM dan Cytopeutics Sdn Bhd

CHERAS, 31 Oktober 2018 – Pusat Terapi Sel (PTS), Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM dengan kerjasama Cytopeutics Sdn Bhd, telah mengadakan majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bertempat di Sukmaria, Tingkat 3, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Kampus Kuala Lumpur UKM.

Memorandum Perjanjian ini adalah kesinambungan daripada Memorandum perjanjian yang telah ditandatangani pada 22 Ogos 2011 serta beberapa siri perjanjian penyelidikan oleh kedua-dua pihak sejak 2011 dalam membangunkan hubungan yang lebih rapat dalam penyelidikan terapi sel sehinggalah kesepakatan untuk menyambung dan menandatangani Memorandum perjanjian dapat direalisasikan pada hari ini.

Prof. Datuk Dr. A Rahman dalam ucapannya berkata, kolaborasi antara UKM-Cytopeutics ini akan memfokuskan kepada bidang penyelidikan dan pembangunan teknologi rawatan berasaskan sel stem. Memorandum Perjanjian ini untuk meningkatkan kerjasama dan potensi aplikasi klinikal menggunakan sel stem. Tambah beliau, kajian-kajian bakal ditumpukan dalam penyelidikan sel stem bagi mengoptimakan fungsinya dalam terapi perubatan termasuk wound healing, ischemic cardiomyopathy (kegagalan jantung), peripheral occlusive arterial disease, cerebrovascular disease (stroke), cartilage injury dan sebagainya.

Pusat Terapi Sel (PTS) menyediakan perkhidmatan terapi sel yang merangkumi sel stem hematopoietik, sel darah limfosit dan sel dendritik semenjak 1999 dan berjaya melakukan lebih 200 pemindahan autologous dan allogenik sel stem hematopoetik untuk pelbagai penyakit kanser darah dan penyakit sum-sum tulang. Rakan kerjasama PTS iaitu Cytopeutics Sdn Bhd merupakan syarikat peneraju dalam kajian dan rawatan sel stem di Malaysia. Cytopeutics kini bergerak maju dalam penyelidikan sel stem untuk merawat kegagalan jantung, penyakit jantung iskemia, osteoarthritis (lutut) dan kencing manis. Ujian klinikal dijalankan dengan profesional, berdasarkan teknologi dan protokol yang dipatenkan.

Hadir dalam majlis ialah Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor Kampus KL, Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof. Dr. S Fadilah Abdul Wahid, Ketua Pusat Terapi Sel HCTM, dan Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh, wakil Dekan Fakulti Perubatan. Manakala pihak Cytopeutics pula dihadiri oleh Encik James Then Khong Lek, Pengarah Urusan, Puan Zoe Cheng Voon Sze, Pengarah Eksekutif, dan Prof. Dr. Chin Sze Piaw, Penasihat Klinikal dan Kajian.