PROGRAM: Majlis Penghargaan Wakaf Selangor Muamalat (WSM) Dan Berjaya Corporation Berhad Serta Perasmian Wad Penjagaan Kaki

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM telah mengadakan Majlis Penghargaan Wakaf Selangor Muamalat (WSM) dan Berjaya Corporation Berhad serta Perasmian Wad Penjagaan Kaki. Majlis diadakan pada 18 September 2018 (Selasa) bertempat di Bilik Mesyuarat Lembaga, Tingkat 1, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Jaafar Kampus Kuala Lumpur UKM pada jam 2.30 petang.

Penubuhan Wad Jagaan Kaki ini adalah sumbangan usaha sama Jabatan Ortopedik HCTM, Wakaf Selangor Muamalat (WSM) dan Berjaya Corporation Berhad. WSM adalah merupakan kerjasama antara Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) dengan Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) bagi tujuan Wakaf Khas di mana sumbangannya akan diagihkan ke sektor pendidikan dan kesihatan.

Pembukaan wad ini bakal memberi harapan dan penambahbaikan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat setempat khususnya pesakit diabetes. Inisiatif ini adalah usaha untuk meningkatkan kualiti kehidupan serta mengurangkan kadar amputasi bagi pesakit diabetes kaki. Secara umumnya, Diabetes Mellitus (DM) adalah salah satu penyakit yang semakin menular dan serius dalam kehidupan masyarakat kini. Lebih daripada 170 juta orang telah menghidap diabetes di seluruh dunia dan dijangka peningkatannya akan mencapai sehingga 300 juta menjelang tahun 2025. Terdapat pelbagai jenis komplikasi yang memberikan kesan kepada individu yang menghidap diabetes tetapi komplikasi yang melibatkan kaki adalah paling tinggi jumlahnya. Ini adalah kerana, orang yang dijangkiti oleh diabetes adalah 25 kali berkemungkinan untuk kehilangan kakinya berbanding mereka yang tidak menghidap penyakit tersebut.

Menurut Prof. Datuk Dr. A Rahman, lebih daripada 70% pemotongan kaki terjadi terhadap pesakit yang menghidap diabetes di seluruh dunia dan memberi kesan yang amat ketara ke atas ekonomi dan psikologi pesakit dan keluarga. Kebanyakan pesakit ini yang terpaksa menjalani proses pemotongan kaki, tidak dapat menampung pendapatan untuk dirinya malah ia menjadi bebanan kepada keluarga dan terpaksa mengharapkan sumbangan dan bantuan orang lain.

Dianggarkan sebanyak 3-4% daripada pesakit yang menghidap diabetes terpaksa menggunakan 12-15% sumber pendapatan untuk merawat penyakit mereka. Sebagai usaha pencegahan untuk mengurangkan kadar amputasi adalah dengan memberi kesedaran dan maklumat berkenaan strategi penjagaan dengan menggabungkan langkah pencegahan, perawatan ulser kaki yang multi-disiplin, pemantauan yang rapi serta kesedaran masyarakat terhadap diabetes dan kesihatan.

Pada masa ini, kebanyakan daripada pesakit ini akan dirawat di Wad Ortopedik dan Wad Perubatan. Risiko yang dihadapi adalah masalah kelewatan untuk melakukan pembedahan, kelemahan dalam penyediaan pesakit, misdiagnosed diabetic foot, charcot joint dan full-blown osteomyelitis, poor compliance serta kurang pengetahuan dalam menangani pesakit diabetes yang mengalami luka di kaki.

Melalui penubuhan Wad Penjagaan Kaki HCTM, rawatan kepada pesakit dapat diberi keutamaan dan bersistematik. Manakala dari sudut kepakaran pula, peluang pembelajaran dapat diberikan kepada pelajar-pelajar sarjana dalam bidang ortopedik dan traumatologi terutamanya dalam prosedur perawatan penjagaan kaki dan buku lali bagi pesakit diabetis. Kos pembangunan wad ini adalah hasil sumbangan daripada Wakaf Selangor Muamalat (WSM) iaitu sebanyak RM272,000.00 dan sumbangan daripada Berjaya Corporation Berhad iaitu RM40,000.00.

Wad Jagaan Kaki telah dirasmikan oleh Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abdul Rahman Arshad, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bersama Wakaf Selangor Muamalat. Turut hadir dalam majlis ialah Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur UKM, dan Dato’ Sri Azlan Meah Hj Ahmed Meah, Pengarah Eksekutif Berjaya Corporation Berhad serta wakil daripada Bank Muamalat Malaysia Berhad dan Perbadanan Wakaf Selangor.