PROGRAM: Majlis Penyampaian Sumbangan / Tajaan Petronita Kepada Jabatan Anestesiologi & Rawatan Intensif, HCTM UKM

CHERAS, 30 November 2018 – Sumbangan berjumlah RM 85,882.00 telah diserahkan kepada Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM dalam Majlis Penyampaian Sumbangan / Tajaan Petronita kepada Jabatan Anestesiologi & Rawatan Intensif, HCTM UKM di SUKMARIAl, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM.

Sumbangan telah disampaikan oleh Puan Azmah Azman dan Puan Lita Osman, Ketua, Unit Kebajikan Persatuan Isteri-Isteri Kakitangan Petronas (PETRONITA)  kepada Profesor Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur UKM dan Prof. Madya  Dr. Raha Abdul Rahman, Ketua Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Intensif HCTM. Sumbangan ini akan digunakan untuk membeli tiga peralatan perubatan khas (pediatrik) iaitu satu unit Video Laryngoscope, dua unit Target Controlled Infusion Pumps dan satu unit Blanket Warming System untuk kegunaan Jabatan Anestesiologi & Rawatan Intensif, HCTM UKM. Peralatan ini diperlukan kerana statistik pesakit kanak-kanak memerlukan pembedahan dan rawatan pediatrik semakin meningkat.

Berucap dalam majlis, Prof. Datuk. Dr A Rahman berkata beliau mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai industri, agensi luar, atau NGO dalam memberikan sumbangan sama ada melalui tabung kebajikan, endowment atau peralatan. Public-private partnership ini digalakkan untuk mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan. Usaha murni pihak PETRONITA dalam memastikan hubungan strategik yang baik dengan Hospital Canselor Tuanku Muhriz, khasnya Jabatan Anestesiologi & Rawatan Intensif dalam menjamin penyampaian dan perkhidmatan perawatan ke atas pesakit pediatrik dapat diberikan secara lebih komprehensif dan berkesan.