PROGRAM: Physiotherapy Charity Run 2018 ‘Run With Golden Age’

CHERAS, 13 Oktober 2018 – Julung kalinya bersempena dengan Hari Sukan Negara yang di isytiharkan pada setiap hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober dan Sambutan Hari Warga Emas Sedunia yang jatuh pada 1 Oktober setiap tahun, Unit Fisioterapi, Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan, HCTM, menganjurkan Physiotherapy Charity Run 2018 : Run With Golden Age pada 13 Oktober 2018 (Sabtu) bertempat perkarangan Institut Perubatan Molekul (UMBI), Kampus KL UKM.

Program ini dijalankan untuk memberi kesedaran mengenai kepentingan bersukan dan warga emas ini mendapat sokongan dan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan dan Jabatan Kesihatan Masyarakat, PPUKM. Objektif penganjuran larian adalah untuk mempromosikan perkhidmatan dan peranan Unit Fisioterapi kepada orang awam, meningkatkan kesedaran tentang kepentingan gaya hidup sihat secara santai, serta mengumpul dana bagi tujuan menaiktaraf perkhidmatan Unit Fisioterapi.

Seramai 491 orang peserta daripada pelbagai peringkat umur dengan dua kategori larian iaitu Terbuka Telaki dan Terbuka Perempuan. Larian sejauh 5 km bermula dari Perkarangan Bangunan UMBI Cheras melalui laluan di Taman Rekreasi Tasik Permaisuri dan berakhir di Perkarangan Bangunan UMBI semula. Para peserta memulakan larian pada jam 7.30 pagi dan peserta pertama yang sampai ke garisan penamat kategori lelaki ialah En. Sivaneshwaran A/L Gunasegaran dengan catatan masa 17 minit 14 saat. Manakala kategori wanita pula dimenangi oleh Nurliana Mohd Rusni dengan catatan masa 25 minit 12 saat.

Selain daripada acara larian, aktiviti saringan kesihatan juga turut diadakan untuk peserta yang hadir. Sesi dialog bersama pakar untuk warga emas dan gerai jualan juga turut dibuka. Profesor Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) telah menyempurnakan acara pelepasan dan penyampaian hadiah kepada para pemenang. Turut hadir Puan Rohana Mukahar, Ketua Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan, Cik Zunaidah Abu Samah, Ketua Unit Fisioterapi dan Encik Nahiz Waridi Adnan, Pengarah Program Physiotherapy Charity Run 2018.