PROGRAM: Sambutan Hari Anestesia Peringkat Kebangsaan 2018

CHERAS, 20 Oktober 2018 – Sempena Hari Anestesia Sedunia 2018, Jabatan Anestesiologi & Rawatan Intensif, HCTM dengan kerjasama Malaysian Society of Anaesthesiologists (MSA) menganjurkan Sambutan Hari Anestesia Peringkat Kebangsaan 2018 di Bangunan Praklinikal, Kampus KL UKM, Cheras.

Jabatan Anestesiologi & Rawatan Intensif, HCTM telah dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran sambutan Hari Anestesia peringkat kebangsaan pada tahun ini. Bertemakan ‘The Right Stuff’, penganjur mengetengahkan kepakaran anestesiologi dalam memberikan pembiusan yang selamat kepada pesakit dengan menggunakan peralatan terkini serta memberi penekanan kepada kemajuan peralatan penyambung nyawa atau life-saving equipment yang penting dalam rawatan pesakit ICU.

Sambutan ini telah dirasmikan oleh Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, wakil Naib Canselor UKM. Dalam ucapan perasmiannya, beliau berbangga dengan kehebatan pembedahan-pembedahan rumit berskala besar yang dilaksanakan di HCTM dan kejayaan ini adalah hasil kerjasama pakar bedah dan pakar anestesiologi dengan seliaan dan pengetahuan tinggi yang menjadi tulang belakang bagi memastikan denyut nadi pesakit berterusan. Turut hadir dalam perasmian ini ialah Dato’ Dr. Jahizah Hassan, President Malaysian Society of Anesthesiologist, Prof. Madya Dr. Wan Zuhainis Saad, wakil Kementerian Pendidikan Malaysia, Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, wakil Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof. Dr. Zaleha Abdullah Mahdy, Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof. Madya Dr. Raha Abdul Rahman, Ketua Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Intensif HCTM, Dr. Ravinthiran Rasiah, President College Of Anesthesiologist Malaysia.

Majlis perasmian ini turut melancarkan Buku Tahunan Malaysian Society of Anaesthesiologists 2017-2018, serta mengumumkan pemenang-pemenang Anaesthesia Superheroes Challenge – Video Competition dan Pertandingan Wefie Anaesthesia #TheRightStuff.