Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat HCTM

Oleh : Noorlaily Abdul Rahim
Foto : Norashikin Yusof

CHERAS, 3 April 2019 – Unit Nefrologi Jabatan Perubatan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz,
Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM) dengan kerjasama Displin Perubatan Jabatan
Perkhidmatan Kejururawatan, menganjurkan Sambutan Hari Buah Pinggang Peringkat HCTM
sempena ‘World Kidney Day’ yang disambut pada 14 Mac setiap tahun.

Penyakit buah pinggang merupakan penyakit senyap yang berbahaya dan biasanya tidak disedari
hingga penyakit menjadi teruk dan buah pinggang sukar diselamatkan. Apabila buah pinggang
gagal berfungsi dengan baik, bahan buangan yang biasa dikeluarkan tubuh melalui air kencing akan
kekal dalam darah menyebabkan hilang selera makan, loya, muntah, keletihan dan lemah badan.
Apabila perkara ini berlaku, pesakit hanya mempunyai dua pilihan sahaja sama ada menjalani
rawatan dialisis atau pemindahan buah pinggang.

Sambutan ini merupakan acara tahunan yang memberi tumpuan kepada kesihatan buah pinggang.
Bertemakan “Kidney Health For Everyone Everywhere”, program ini mempromosi kesedaran dan
pendidikan mengenai kesan bahaya yang berkaitan dengan penyakit buah pinggang, dan gaya
hidup yang sihat. Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan ialah aktiviti riadah Zumba, ceramah
kesihatan, terapi batik, dan jualan gerai.

Majlis telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor, Timbalan Pengarah
Perkhidmatan Perubatan HCTM. Turut hadir dalam majlis Profesor Madya Dr. Norlaila Mustafa,
Ketua Jabatan Perubatan, Dr. Ruslinda Mustafar Ketua Unit Nefrologi.