Sambutan Hari Kerja Sosial Sedunia Peringkat HCTM UKM 2019

Oleh : Hafizah Mohamad Isa
Foto : Hafizah Mohamad Isa

Cheras, 17 April 2019 – Jabatan Kerja Sosial Perubatan, HCTM UKM telah menganjurkan Sambutan Hari Kerja Sosial Sedunia Peringkat HCTM UKM pada hari ini di Lobi Utama, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM dan telah dirasmikan oleh Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah HCTM, UKM. Turut hadir termasuklah  Puan Suraiyah Harun, Ketua Jabatan Kerja Sosial Perubatan.

Program ini diadakan adalah untuk merapatkan lagi hubungan jaringan kerjasama antara hospital dengan pelbagai agensi bantuan dalam usaha HCTM untuk membantu kefungsian sosial pesakit dan keluarga yang memerlukannya. Jabatan Kerja Sosial Perubatan (JKSP) berperanan memberikan perkhidmatan psikososial kepada pesakit-pesakit yang menerima rawatan di HCTM, UKM. Perkhidmatan yang diberikan meliputi penilaian psikososial atau sosioekonomi, perundingan kemudahan komuniti,  intervensi krisis, dan rujukan ke sumber komuniti bagi  bantuan  praktikal.

Majlis penghargaan dan penyampaian sijil kepada para wakil NGO di sekitar Lembah Klang yang aktif dalam aktiviti kerja sosial bersama pihak HCTM turut diadakan. Pihak Ronald McDonald Children Charities (RMCC) juga telah menyampaikan sumbangan dua (2) buah kerusi roda kepada HCTM.

Majlis kali ini turut mengadakan forum bertajuk Sokongan Sosial Pesakit Dalam Penjagaan Kesihatan – Antara Peranan, Isu, Cabaran dan Harapan dan dipengerusikan oleh Prof.Dr. Sharifah Ezat Wan Putih, Timbalan Dekan (Jaringan dan Penjanaan0 Fakulti Perubatan UKM dan panel bagi forum tersebut adalah Dr. Suhaimi Mohamad (UKM), Tuan Haji Mohiadin Bahado (Wakil NGO) dan Encik Kuan Chee Heng @ Uncle Kentang (Aktivis sosial). Selain itu, banyak aktiviti yang diadakan termasuklah booth pameran turut dibuka kepada orang ramai untuk dilawati dan mendapatkan perkhidmatan.