Seminar Kesihatan dan Keselamatan Seksual Kanak-kanak Kelainan Upaya 2019

Oleh : Noorlaily Abdul Rahim
Foto: Muhammad Shahrul Izwan Halim

CHERAS, 6 Ogos 2019 – Seramai 115 orang peserta yang terdiri daripada doktor, psikiatris, dietatik, jururawat, guru dan ibubapa telah menyertai Seminar Kesihatan dan Keselamatan Seksual Kanak-kanak Kelainan Upaya 2019. Seminar anjuran Pusat Perkembangan Kanak-kanak HCTM ini telah diadakan di Auditorium, Kampus Kuala Lumpur UKM.

Antara topik-topik menarik yang dibincangkan dalam seminar ini ialah mengenai perkembangan seksual kanak-kanak, risiko gangguan seksual di kalangan kanak-kanak kelainan upaya, dan strategi pendidikan seksual untuk kanak-kanak kelainan upaya. Selain itu, satu forum perbincangan diadakan dengan panel-panel bertauliah untuk para peserta bertanya lebih lanjut mengenai topik ini.

Majlis telah dirasmikan oleh Prof. Dr. Halim Abdul Gafor, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan) HCTM. Dalam ucapan beliau berkata, cabaran tahap perkembangan yang berbeza untuk kanak-kanak kelainan upaya memerlukan pendekatan yang sesuai. Justeru pemahaman dan pendidikan kesihatan seksual dilihat amat relevan pada masa kini kepada ibu bapa dan pelbagai profesional yang terlibat dalam intervensi kanak-kanak kelainan upaya. Beliau berharap seminar ini dapat memberikan pelbagai maklumat terkini dan menjadi panduan dalam menguruskan isu-isu kesihatan dan keselamatan seksual kanak-kanak kelainan upaya dengan lebih sempurna dan profesional.

Turut hadir dalam majlis Prof. Dr Cheah Fook Choe, Ketua Jabatan Pediatrik HCTM, Dr Juriza Ismail, Ketua Pusat Perkembangan Kanak-Kanak HCTM, dan Dr. Norazlin Kamal Nor, Pengerusi Ahli Jawatankuasa Seminar Kesihatan dan Keselamatan Seksual Kanak-Kanak Kelainan Upaya 2019.