TEMANITA 2019 meraikan Sambutan Hari Wanita Sedunia Di HCTM UKM

Oleh : Hafizah Mohamad Isa
Foto : Norhayati Md Raji

CHERAS, 16 Mac 2019 – Program TEMANITA 2019 anjuran Jabatan Surgeri HCTM UKM telah disambut bersama sambutan Hari Wanita Sedunia 2019 yang diraikan pada 8 Mac setiap tahun. Majlis dirasmikan oleh Prof. Dato’ Noor Aziah Mohd Awal, penaung TEMAN UKM pada pagi ini.

Turut bersama ke program tersebut adalah Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dan Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh, Timbalan Dekan (Jaringan dan Penjanaan), Fakulti Perubatan UKM.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Noor Aziah, Hari Wanita Sedunia telah diiktiraf secara global untuk memberi kesedaran dan pemahaman bahawa setiap wanita layak diberi penghargaan dalam meraikan pencapaian sosial, ekonomi, kebudayaan dan politik mereka. Beliau juga berharap semoga kumpulan sokongan TEMAN akan terus menyumbang khidmat bakti kepada para pesakit khususnya dan masyarakat secara amnya.

Peranan TEMAN kepada masyarakat bukan hanya memfokuskan kepada sesi perkongsian ilmu, ceramah umum dan motivasi tetapi berperanan sebagai badan bertindak yang mengadakan beberapa aktiviti santai bersama pesakit-pesakit.

Beberapa aktiviti – aktiviti yang sering dianjurkan adalah seperti riadah luar dan melihat alam flora iaitu TEMAN Nature Walk yang telah dijalankan di INBIOSIS, UKM Bangi, aktiviti sosial seperti TEMAN Raya semasa sambutan perayaan Aidilfirtri, aktiviti sukan santai iaitu TEMAN Superbowl Bowl Your Blues Away dan aktiviti-aktiviti sokongan yang lain.

Penganjuran program – program seumpama ini dalam membantu dan memberi sokongan kepada pesakit-pesakit barah payudara di HCTM.

Program pada kali ini menyediakan beberapa aktiviti seperti siri ceramah, forum, cabutan bertuah, pameran, booth jualan dan sebagainya. Sebanyak 300 peserta telah menyertai program ini dan terdiri daripada kakitangan Kampus Kuala Lumpur UKM, Ahli Jawatankuasa TEMAN, pesaki- pesakit, waris dan sukarelawan turut serta menyertai program ini.