Perkhidmatan Kecemasan

Fungsi utama perkhidmatan kecemasan adalah untuk memberikan perawatan menyelamatkan nyawa dengan segera kepada pesakit kritikal dan tenat. Konsep Triaj(saringan) dilakukan atas semua pesakit yang ingin mendapatkan rawatan kecemasan bagi menilai tahap kecemasan yang dialami oleh pesakit. Keutamaan diberikan kepada golongan pesakit kritikal dan tenat. Perkhidmatan kecemasan dikendalikan oleh Jabatan Perubatan Kecemasan HCTM.

Perkhidmatan Kecemasan

Kecemasan yang kritikal
Kes-kes kecemasan yang terdapat tanda bahaya (danger signs) serta tanda klinikal asas (vital signs) yang tidak stabil.

Kecemasan yang bukan kritikal
Kes-kes kecemasan yang tiada tanda bahaya (danger signs) dan mempunyai tanda klinikal asas (vital signs) yang stabil.

Pra Hospital
Perkhidmatan pra-hospital adalah sebahagian daripada skop perkhidmatan perubatan kecemasan dan trauma di Jabatan Perubatan Kecemasan, HCTM, PPUKM yang merupakan satu bidang kepakaran tersendiri dibawah disiplin perubatan kecemasan.

Ia adalah satu perkhidmatan kepakaran di dalam perubatan kecemasan dan memberi perkhidmatan yang merangkumi pelbagai bentuk kecemasan akut sama ada disebabkan penyakit atau kecederaan, di dalam situasi di luar hospital.

Antara perkhidmatan yang disediakan termasuklah perkhidmatan ambulans dan pasukan perlindungan perubatan untuk acara sukan, persidangan dan lain-lain.

One Stop Crisis Center (OSCC)
OSCC adalah satu initiatif Jabatan bagi membantu meringankan beban dan trauma mangsa kes-kes penderaan domestik, penderaan kanak- kanak, rogol dan sodomi. Ia mengumpulkan semua kepakaran, pihak polis dan kebajikan masyarakat bagi mempercepatkan proses pengurusan kes-kes tersebut.

Kes-kes tersebut akan diberilkan keutamaan dan dirawat di Bilik Anggerik (OSCC) kecuali kes- kes kritikal yang memerlukan pemantauan yang lebih rapi.

Jenis-jenis masalah kecemasan

  1. Tidak sedarkan diri atau pengsan
  2. Kesukaran pernafasan
  3. Lemas
  4. Tercekik
  5. Tarik-tarik atau sawan
  6. Kecederaan atau pendarahan yang teruk
  7. Sakit dada yang teruk
  8. Mangsa kemalangan jalan raya
  9. Kebakaran atau melecur yang teruk
  10. Keracunan atau pengambilan ubat atau dadah secara berlebihan
  11. Patah tulang

Pesakit yang menghadapi masalah kecemasan sahaja akan diberikan perkhidmatan ini. Masalah-masalah bukan kecemasan disarankan mendapatkan rawatan di klinik. Antara masalah bukan kecemasan seperti:

  1. Luka kecil
  2. Batuk dan selsema
  3. Demam ringan
  4. Sakit kepala yang ringan
  5. Cirit-birit
  6. Ruam atau gatal-gatal

Kemudahan

  1. Bilik menyusu anak
  2. Farmasi kecemasan
  3. Bilik waris pesakit yang kritikal/nazak.

Pernyataan

  • Pihak Pengurusan HCTM memaklumkan kepada semua pesakit dan / atau pelawat bahawa HCTM berhak untuk tidak melayan mana-mana orang yang bertindak kasar secara fizikal atau lisan atau mengugut mana-mana kakitangan HCTM.
  • Sesiapa yang didapati menggunakan kata-kata kesat, bertindak kasar ataupun mengugut untuk bertindak kasar kepada mana-mana kakitangan HCTM akan dilaporkan kepada pihak polis dan dibawa keluar dari premis HCTM.