Prosedur Perkhidmatan Kecemasan

Definisi Triaj

  • Triaj bermaksud penyaringan.
  • Mana-mana pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan di Jabatan ini akan di triajkan (disaring) bagi menentukan taraf kesegeraan keadaan mereka.
  • Keutamaan akan diberikan kepada kes-kes yang benar-benar kecemasan.
  • Setiap pesakit yang datang ke Jabatan berhak menerima penilaian di Triaj Primer dan penilaian di Triaj Sekunder sebelum keputusan menerima atau menolak seseorang pesakit itu dibuat (bagi kes-kes bukan kecemasan)
  • Proses triaj akan dilakukan oleh pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan atau jururawat terlatih untuk diklasifikasikan mengikut keutamaan klinikal.

Prosedur Perkhidmatan Kecemasan

  • Triaj Primer – Apabila anda sebagai pelanggan (pesakit) tiba di jabatan Kecemasan untuk mendapatkan rawatan, anda akan dinilai oleh kakitangan terlatih bagi mengenalpasti tanda-tanda kecemasan yang mengancam nyawa atau memerlukan penilaian doktor lebih awal.
  • Triaj Sekunder – Di triaj sekunder, pemeriksaan asas seperti suhu, kadar nadi dan tekanan darah akan dilakukan. Kakitangan sokongan klinikal yang terlatih akan mendapatkan maklumat ringkas mengenai keadaan kesihatan dan menentukan keutamaan rawatan. Pesakit akan ditriajkan mengikut Triaj 1/2A/2B/3.
  • Masa giliran – Bagi kes yang ditriaj sebagai Triaj 3, anda akan diberikan nombor giliran. Warga emas (65 tahun ke atas) dan kanak-kanak (di bawah 5 tahun) akan diberikan keutamaan dalam giliran menunggu.
  • Pendaftaran – Pastikan anda melengkapkan proses pendaftaran pesakit sebaik sahaja menerima nombor giliran anda. Pesakit yang gagal mendaftar dengan betul akan menggangu proses pendaftaran dan ini boleh mengakibatkan kelewatan untuk berjumpa pegawai perubatan
  • Ujian tambahan – Bagi sesetengah pesakit Triaj 3, ujian darah perlu dilakukan sebelum berjumpa doktor. Lazimnya ini akan dimaklumkan semasa berada di triaj sekunder. Tunggu giliran untuk proses pengambilan sampel darah. Nama anda akan dipanggil oleh jururawat bertugas.
  • Menunggu – Kes-kes Triaj 3 akan menunggu giliran berjumpa doktor dengan sabar dan tertib. Masa menunggu akan berubah bergantung kepada keadaan kesesakan ruang rawatan kritikal dan bilangan doktor bertugas.
  • Rawatan doktor – Sekiranya ada sebarang pertanyaan sebelum berjumpa doktor, anda digalakkan berjumpa dengan kakitangan khidmat pelanggan bertugas di kaunter dan tidak mengganggu doktor yang bertugas.

Kategori Triaj Sekunder

  • Triaj 1 – Resusitasi
    Keadaan kecemasan kritikal yang mengancam nyawa atau anggota yang memerlukan rawatan segera.
  • Triaj 2A – Kecemasan Tidak Stabil
    Keadaan kecemasan yang terhadap tanda bahaya (danger signs) (mengikut Senarai Semak Triaj Primer) serta tanda klinikal asas (vital signs) yang tidak stabil.
  • Triaj 2B- Kecemasan Stabil
    Keadaan kecemasan terhadap tanda bahaya (danger signs) (mengikut Senarai Semak Triaj Primer) tetapi mempunyai tanda klinikal asas (vital signs) yang stabil.
  • Triaj 3- Rawatan Segera
    Keadaan kritikal akut, tidak terdapat tanda bahaya (danger signs) (mengikut Senarai Triaj Primer), dan mempunyai tanda klinikal asas yang stabil.

Anggaran Masa Menunggu

Triaj Sasaran masa untuk memulakan rawatan/penilaian klinikal Sasar masa penyelesaian kes setelah dilihat oleh Pegawai Perubatan.
1 0 hingga 3 minit Bergantung kepada kes
2A Di dalam lingkungan 10 minit Dalam masa 4 jam
2B Di dalam lingkungan 30 minit Dalam masa 4 jam
3 Di dalam lingkungan 180 minit Dalam masa 4 jam