Sejarah Penubuhan

Sejarah pusat ini bermula apabila Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia telah ditubuhkan pada 30hb Mei 1972 dengan pelantikan Dekan pertama iaitu Dr. Amir Abbas. Penubuhannya adalah berdasarkan aspirasi rakyat untuk mewujudkan institusi perubatan kebangsaan menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa perantaraan. Aspirasi pada masa itu adalah untuk mengeluarkan doktor-doktor tempatan, yang dilatih dan berkaliber, untuk mengatasi masalah kekurangan doktor di Malaysia, terutamanya untuk berkhidmat di kawasan-kawasan luar Bandar.

Penubuhan Fakulti Perubatan tiga tahun selepas penubuhan UKM bertujuan untuk melatih dan melahirkan doktor perubatan berkualiti yang boleh berkhidmat di mana sahaja terutama di kawasan luar bandar. Tenaga pengajar ketika itu kebanyakannya terdiri dari tenaga pengajar dari Indonesia yang mengajar di bidang praklinikal iaitu Anatomi, Biokimia dan Fisiologi. Terdapat juga beberapa orang pensyarah dari Myanmar, Bangladesh, Rhodesia dan Sweden. Di bidang klinikal, beberapa pakar klinikal telah dilantik melalui bantuan CFTC, United Kingdom. Pada tahun 1975 dan seterusnya ramai bakal tenaga pengajar yang dihantar mengikuti latihan di luar Negara telah berjaya dan berkhidmat di Fakulti Perubatan. Kini ramai bekas graduan Fakulti Perubatan UKM telah kembali mencurah bakti sebagai tenaga pengajarnya. Apabila Fakulti Perubatan ditubuhkan tiada bangunan tetap disediakan untuk kerja-kerja pentadbiran. Keadaan yang mendesak menyebabkan Dr. Amir Abbas menggunakan ruang di rumah kerajaan kediamannya iaitu di Jalan Istana sebagai pejabat.

Setelah beberapa bulan, pejabat tersebut berpindah di Jalan Travers, Brickfields dan kemudiannya di Jalan Masjid, Petaling Jaya. Dari tahun 1973-1976 Fakulti telah menyewa keseluruhan Paras 1, bangunan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), di Jalan Pahang, Kuala Lumpur sementara menunggu bangunan di Jalan Raja Muda Abdul Aziz siap. Bangunan ini digunakan oleh Fakulti Perubatan sehingga tahun 1997 apabila hospital HUKM di Cheras siap dan bahagian klinikal dan pejabat pentadbiran pindah ke sana.

Walaubagaimanapun masih ada beberapa lagi jabatan praklinikal Fakulti Perubatan yang masih berada di Kampus Kuala Lumpur. Kumpulan perintis yang terdiri daripada Dr. Abd. Hamid bin Abd. Rahman, Dr. Abdul Rahman Omar, Dr. Ismail Saad, Dr. Kader Sultan dan Dr. Eng Jom dan diketuai oleh Dr. Amir Abbas walaupun tiada berpengalaman akademik untuk pembinaan sebuah Fakulti Perubatan, telah bertugas merancang aktiviti mereka dengan melakukan kerja-kerja yang terpaksa dijalankan serentak. Jawatankuasa Penaja dengan restu PerdanaMenteri Malaysia Kedua, YAB Tun Abdul Razak, telah memilih Hospital Besar Kuala Lumpur sebagai hospital pengajar untuk latihan klinikal dari tahun 4 hingga tahun 6.

Pada 27 Februari 1975 HBKL telah diisytiharkan sebagai hospital pengajar Fakulti Perubatan UKM oleh Menteri Kesihatan ketiga iaitu YB Tan Sri Lee Siok Yew. Kini Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia bersedia sebagai hospital pengajar.

Rentetan Penubuhan

MEI 1973 : Kursus praperubatan di Fakulti Sains, Kampus Induk UKM di Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur bermula.

MEI 1974 : Kursus Perubatan Praklinikal bermula di bangunan sementara Fakulti Perubatan dalam kawasan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

27 FEBRUARI 1975 : Kementerian Kesihatan Malaysia dengan rasminya bersetuju menjadikan HKL sebagai Hospital Pengajar UKM.

MEI 1976 : Semua kursus Klinikal dilakukan di HKL.

1977 : Bangunan tetap Fakulti yang terletak bersebelahan dengan HKL siap dibina dan dapat digunakan sepenuhnya

Peperiksaan Ikhtisas Akhir Ijazah Doktor Perubatan yang pertama diadakan pada 19 hingga 31 Mac 1979 dan daripada 42 orang pelajar yang mengambil peperiksaan, 37 daripadanya telah lulus dan dikurniakan Ijazah Doktor Perubatan dan ini merupakan detik gemilang bagi Fakulti Perubatan khasnya dan UKM amnya telah berjaya mengeluarkan graduan pertama ijazah Doktor Perubatan. Fakulti juga telah memulakan program sarjana kepakaran perubatan mulai sesi 1981/82 bermula dengan Sarjana Surgeri (Surgeri Am) dan Sarjana Surgeri (Ortopedik) dan diikuti dengan Sarjana Sains Perubatan dan Doktor Fasalfah.

Hospital UKM

Impian untuk menubuhkan sebuah hospital pengajar sendiri mula difikirkan memandangkan keperluan jangka panjang dari segi pendidikan perubatan. Impian ini menjadi kenyataan apabila sebuah hospital pengajar yang kini dikenali sebagai Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) mula didirikan di Cheras pada 2 November 1993. Pembinaan HUKM dimulakan di tapak seluas 23 hektar di Jalan Yaakob Latif (dulunya Jalan Tenteram) Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur. Pada 1 Julai 1997, HUKM telah siap dibina dan mula beroperasi dengan mempunyai pelbagai peralatan moden dan terkini dan pada 14 Julai 1998, HUKM telah dirasmikan oleh YAB Dato Seri Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

Penggabungan Fakulti Perubatan dan Hospital UKM

Pada 20hb Februari 2008, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin telah mengemukakan keputusan pihak pengurusan tertinggi UKM untuk menggabungkan Fakulti Perubatan dan Hospital UKM untuk dijadikan penyatuan pusat perubatan akademik yang dinamakan Pusat Perubatan UKM. Prof. Dato’ Dr. Lokman Saim telah dilantik sebagai Dekan Fakulti Perubatan dan Pengarah Pusat Perubatan UKM pada 28hb Februari 2008.

Pusat Perubatan UKM, melalui Fakulti Perubatan telah mewujudkan program perubatan prasiswazah. Ia merupakan kurikulum integrasi perubatan selama 5 tahun yang berasaskan pengetahuan bio-perubatan dan kemahiran klinikal, menekankan kepentingan perubatan dan masyarakat dan pembangunan peribadi dan profesional pelajar-pelajar. Fakulti ini juga merupakan pusat pilihan pertama bagi kursus pra-siswazah untuk doktor-doktor pakar dengan lebih dari 15 program kepakaran klinikal pra-siswazah dan sub-kepakaran.

Pusat Perubatan UKM

Penggabungan ini menyatukan pembelajaran yang hebat dan kemampuan penyelidikan para ahli akademik, dan kemudahan-kemudahan klinikal yang mantap dengan kakitangan-kakitangan hospital. Langkah inovatif ini mengubah institusi ini untuk menjadikannya salah satu pusat perubatan akademik yang terunggul.

' .